Shell Refining Beri Jaminan Tidak Buang Pekerja

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Shell Refining Company (Federation of Malaya) Bhd (SRC) memberi jaminan tiada pekerjanya yang akan diberhentikan susulan tindakan Malaysia Hengyuan International Ltd (MHIL) membeli 51 peratus kepentingan dalam syarikat itu.

Pengerusinya, Datuk Iain Lo berkata MHIL yang juga unit syarikat petrokimia China, membuat komitmen untuk mengekalkan perkhidmatan pekerja terlibat bagi tempoh 24 bulan akan datang.

“Tiada siapa perlu bimbang kemungkinan kehilangan pekerjaan masing-masing atau manfaat yang dinikmati,” katanya pada satu sidang media, di sini, semalam.

Shell Overseas Holdings Ltd dalam proses menjual kepentingannya dalam kemudahan loji penapisan di Port Dickson itu pada harga US$66.3 juta (RM276 juta).

Penjualan yang dijangka dapat dimuktamadkan sebelum September ini, akan disusuli pelaksanaan tawaran awam mandatori oleh MHIL bagi baki saham SRC. – BERNAMA