"SKN 8285 M": Pemandu Dakwa "Polis Johor Baik Dengan Saya" Sudah Ditahan


PIHAK polis bertindak menahan pemandu kereta Mercedes hitam bernombor plat Singapura, yang sebelum ini didakwa memandu secara berbahaya dengan menukar lorong secara melulu hingga mengakibatkan beberapa siri kemalangan kecil di Johor Bahru, baru-baru ini.

Hasil semakan, pihak polis mendapati pemandu itu mempunyai 13 rekod saman yang belum dijelaskan iaitu 12 saman atas kesalahan pandu laju dan satu saman kesalahan memandu di lorong kecemasan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam & Ketua Trafik Negeri Johor, SUPT Baharudin Mat Taib berkata, pemandu tersebut yang merupakan rakyat Malaysia ditahan pada petang Selasa.

Dalam pada itu, pihak polis menegaskan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan individu terbabit dan tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalulintas.

Pemandu berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya kepada orang awam.

Kisah lelaki memandu Mercedes Benz secara bahaya tersebut, menjadi viral baru-baru ini apabila seorang netizen menceritakan lelaki tersebut dengan nada angkuh memberitahu, polis Johor ‘baik’ dengannya.

“Kalau nak report polis, reportlah. Polis Johor baik dengan saya. Apa you orang boleh buat? Sebab tiada kesan langgar pada kereta dan tiada bukti langgar. You ingat I tak tahu law?!” lelaki itu dirakam berkata.


Difahamkan, pemanduan bahaya lelaki tersebut telah menyebabkan empat kereta di belakangnya berlanggar sesama sendiri apabila terpaksa membrek secara mengejut, selepas lelaki itu menukar lorong secara tiba-tiba tanpa sebarang isyarat. – Kedahnews.com