Skuad Piala Thomas Malaysia Mara Ke Separuh Akhir

Beregu kedua negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong
Skuad Malaysia berjaya menepati sasaran ke separuh akhir Piala Thomas selepas menewaskan Taiwan 3-1 pada aksi suku akhir  yang berlangsung di Kompleks Sukan Kunshan,  petang tadi.

Beregu kedua negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong memberi mata kemenangan buat negara apabila menundukkan Chen Hung Lung-Wang Chi Lin dengan straight set 21-16, 22-20.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia akan berdepan sama ada Denmark atau Jepun pada aksi separuh akhir esok.

Terdahulu, Datuk Lee Chong Wei yang menjadi sandaran utama negara tidak berdepan masalah menyumbang mata pertama dengan menewaskan Chou Tien Chen 21-18, 21-18.

Hasrat untuk menyaksikan pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong meraih mata kedua tidak kesampaian apabila mereka tumpas kepada Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin 16-21,  21-19, 19-21.

Juara kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin bagaimanapun kembali menghidupkan peluang Malaysia selepas mengetepikan Hsu Jen Hao 21-8, 21-13. -Kedahnews.com