Suami Rayu Isteri Bawa Anak Pulang, Jenguk Bapa Sakit Di Yan

Rahman menunjukkan gambar Nor Alina Rozana dan Muhammad Rayyan yang dicari sejak Februari lalu.
YAN - Seorang suri rumah dirayu pulang segera bukan sahaja dibimbangi atas faktor keselamatan diri dan anak lelaki berusia setahun tujuh bulan, namun digesa menjenguk bapa yang sedang sakit kerana rindukan mereka.

Rahman Saad, 52, dari Kampung Dulang Besar, Yan berkata, isterinya, Nor Alina Rozana, 34, bersama anak mereka, Mohammad Rayyan disedari hilang sejak 22 Februari lalu dan tiada khabar berita sehingga ke hari ini.

Menurutnya, selepas pulang dari kerja hari kejadian, dia menyedari kedua-dua beranak itu sudah tiada dan berusaha mencarinya di merata tempat termasuk ke kampung asal namun gagal.

“Maklumat terakhir saya dimaklumkan mereka berada di Klang, Selangor namun tidak pasti lokasi tepat di mana. Saya cuba beberapa kali menghubungi telefon miliknya namun sudah ditamatkan perkhidmatan,” katanya.

Menurut Rahman, bapa mertuanya, Mohd Ali kini sedang menjalani rawatan dan dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sejak tiga minggu lalu akibat buah pinggang dan strok.

Menurutnya, laporan polis sudah dibuat berhubung kehilangan itu di Balai Polis Yan sehari selepas kejadian.

Sumber: Sinar Harian