Anny menceritakan kejadian yang berlaku kepada orang ramai yang berkunjung ke rumahnya. Gambar kecil: Rakaman CCTV menunjukkan kelibat seorang wanita memakai baju putih dan merah. |
SUNGAI PETANI – Seorang suri rumah mengalami kerugian mencecah RM50,000 apabila mendakwa dipukau dua wanita ketika berada di pasar Taman Bersatu kira-kira jam 9 pagi, Selasa lalu.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Anny, 51, dari Taman Patani Jaya berkata, dia didatangi seorang wanita yang menceritakan keadaan anaknya yang sakit lalu menyentuh tangan kirinya.
Menurutnya, beberapa minit kemudian, muncul seorang lagi wanita yang mencelah meminta wanita pertama membawa anak yang sakit ke Pekan Lama untuk berjumpa dengan seorang pengamal perubatan di situ.
"Dalam keadaan separuh sedar, saya terus bawa perempuan pertama membonceng motosikal dan berhentikannya di satu kedai kek di Taman Patani Jaya sebelum meneruskan perjalanan ke rumah mengambil wang simpanan serta barang berharga.
"Saya kemudian ambil semula wanita pertama dan bawanya ke wanita kedua yang siap sedia menunggu di Pekan Lama," katanya.
Dia kemudian memberikan sejumlah wang tunai RM5,000 dan barang kemas termasuk cincin, rantai, gelang serta berlian yang keseluruhan mencecah RM50,000 kepada wanita terbabit seperti yang diarahkan tanpa membantah.
Katanya, selepas selesai menyerahkan kesemua harta kepada wanita terbabit dia kemudian terus berlalu pergi.
"Waktu menunggang motosikal pulang ke rumah, baru saya sedar dah lakukan perbuatan tidak sepatutnya," katanya.
Disebabkan tidak berpuas hati dengan tindakan dua wanita terbabit, dia kemudian berpatah balik ke kedai kek di Taman Patani Jaya untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam rakaman terbabit, wanita pertama yang dibawa membonceng motosikalnya dilihat berlegar-legar sekitar kedai kek berkenaan dengan memakai baju berwarna putih/merah.
Laporan polis mengenai kejadian dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.
Sumber: Sinar Harian