Istana Malacanan atau yang disebut juga Istana Malacanang |
“SAYA tidak mahu tinggal dan tidur dengan hantu. Semua hantu yang ada di Filipina berada dalam rumah itu. Ada yang berkeliaran ke sana ke mari. Ada juga yang kelihatan bermesyuarat di situ,” kata Duterte.
Itulah luahan Rodrigo Duterte setelah dilantik sebagai Presiden Filipina yang baharu apabila dia enggan tinggal di kediaman rasmi yang disediakan oleh kerajaan negara itu sendiri.
Dakwa Duterte, 71, lagi, Istana Malacanang dikatakan berhantu dan banyak entiti berkeliaran malah bermesyuarat di dalam istana lama tersebut.
“Saya tidak mahu tinggal dan tidur dengan hantu. Semua hantu yang ada di Filipina berada dalam rumah itu. Ada yang berkeliaran ke sana ke mari. Ada juga yang kelihatan bermesyuarat di situ,” dakwa Durerte.
Presiden baru Filipina, Rodrigo Duterte |
Istana Malacanan atau yang disebut juga Istana Malacanang merupakan salah satu bangunan paling bersejarah di Filipina. Ia terletak di tepi Sungai Pasig.
Menurut sejarah, istana ini dibangun sekitar tahun 1800 dan awalnya diperuntukkan untuk Gabenor Sepanyol yang berpusat di Manila.
Kemudian semenjak Sepanyol ‘angkat kaki’ dari bumi Filipina, Istana Malacanang digunakan sebagai kediaman rasmi presiden Filipina antaranya Gloria Macapagal Arroyo.
Namun selain menjadi kediaman presiden ia turut berfungsi sebagai muzium bagi memberi peringatan kepada orang awam tentang sejarah yang dialami oleh negara itu kepada rakyatnya.
Disebabkan kisah-kisah mistik yang terdapat pada istana itu, Duterte sanggup berulang-alik antara rumahnya dengan pejabat presidennya itu.
Walaupun Duterte enggan tinggal di kediaman itu, namun upacara angkat sumpahnya tetap akan diadakan di Istana Malacanang, lapor sebuah akhbar.
Entah benar atau tidak apa yang diutarakan oleh Duterte berkenaan Istana Malacanang itu. Apa yang pasti kisah mistik berkaitan istana tersebut telah menjadi bualan ramai pihak termasuk media-media dari luar.
Malah portal rasmi malacanang.gov.ph turut memaparkan kisah-kisah mistik berkaitan dengan istana kolonial tersebut. -Kedahnews.com