Tercemar Teruk, Thailand Terpaksa Tutup Koh Tachai


PIHAK berkuasa negara Thailand akan menutup Pulau Koh Tachai kerana eksploitasi pelancongan telah membawa kesan buruk kepada ekologi dan persekitaran pulau peranginan tersebut.

Menurut beberapa anggota PBT di situ kepada media tempatan, pantai di pulau itu hanya boleh menampung kira-kira 70 orang sahaja pada satu-satu masa, tetapi ada masanya jumlah pengunjung boleh mencapai lebih daripada 1,000 pengunjung.

Jumlah itu tidak termasuk bilangan para penjaja dan bot-bot pelancongan.

Keadaan itu jauh melebihi kapasiti berterusan pulau dan menyebabkan kerosakan tak boleh diperbaiki lagi pada ekosistem sekitarnya.

“Kita harus menutup kawasan ini untuk membolehkan pemulihan dijalankan dan bebas daripada gangguan aktiviti pelancongan sebelum kerosakannya terlalu parah sehingga tak boleh diperbaiki lagi,” kata Ketua Pengarah Jabatan Taman Nasional, Pusat Perlindungan Hidupan Liar dan Tumbuhan, Tunya Netithammakul, seperti yang dilaporkan akbar Bangkok Post.

Pulau Koh Tachai
Pulau Koh Tachai terletak di daerah Phang Nga dan menjadi sebahagian daripada Taman Negara Similan.

Taman itu banyak dikunjungi pelancong dan penyelam yang masih mendapat akses masuk ke beberapa lokasi terhad untuk menyelam di kawasan itu.

Hampir kesemua taman nasional di Thailand ditutup mulai pertengahan Mei hingga pertengahan Oktober semasa musim hujan, tetapi kali ini Koh Tachai tak akan dibuka lagi. -Kedahnews.com