TMJ Lebih Suka Jumpa, Berdepan Individu Hina Beliau

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim
ALOR SETAR - Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim lebih gembira sekiranya pihak berkuasa membawa individu yang menghina beliau di media sosial untuk bertemu dengannya.

Kata TMJ, beliau lebih suka jika individu-individu itu akan diberi peluang untuk menyuarakan kehendak mereka di depan beliau secara berdepan berbanding menahan mereka atas dakwaan di bawah Akta Hasutan.

"Saya lebih suka jika pihak berkuasa dapat menganjurkan pertemuan antara saya dengan individu-individu tersebut dan memberikan mereka peluang untuk menyuarakan apa yang mereka mahu katakan kepada saya secara berhadapan," katanya.

TMJ meluahkan pandangan beliau menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.

Baru-baru ini seorang penyokong bola sepak Pahang, Muhammad Masyhur Abdullah ditahan polis kerana dituduh mengutuk Tunku Ismail yang juga pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Twitter.

Semalam, seorang lagi individu dilapor telah ditahan di Dengkil, Selangor kerana menghina TMJ di Facebook. -Kedahnews.com