Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu |
SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, yakin rakyat Sarawak makin menerima baik parti itu walaupun keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak semalam tidak memihak kepada parti itu.
Katanya, beliau yakin Amanah akan terus subur di bumi kenyalang kerana parti itu komited untuk membantu rakyat Sarawak.
"Amanah yang baru dibentuk tujuh bulan lalu telah diuji dengan pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang berlangsung semalam dengan Amanah bertanding di 13 kerusi.
"Keputusan rasmi telah pun kita ketahui di mana kita tidak berjaya mencapai apa yang dicita-citakan.Biarpun begitu, keputusan semalam menunjukkan penerimaan rakyat Sarawak terhadap Amanah sangat baik sekaligus meletakkan parti ini mempunyai masa depan yang cerah untuk terus subur di bumi kenyalang," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu dakwa, Mohamad Sabu lagi PRN Sarawak kali ini secara tradisinya memperlihatkan bahawa proses pilihan raya berlangsung dalam keadaan pencerobohan demokrasi begitu ketara oleh BN sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.
"Tindakan BN Sarawak menghalang petugas parti pembangkang khususnya dari Amanah, PKR dan DAP telah memberi kesan psikologi kepada pengundi. Penyalahgunaan media, pengumuman projek segera oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satim serta fitnah melampau tidak mampu dijawab parti pembangkang yang tidak mempunyai saluran seimbang dengan pemerintah," dakwanya.
Dalam pada itu, katanya selain itu faktor ketidak seragaman Pakatan Harapan khususnya pertembungan kerusi sesama sendiri juga menyumbang kepada keadaan itu.
"Pakatan Harapan dilihat tidak turun sebagai satu pasukan dalam menghadapi BN di Sarawak. Semoga keputusan pilihan raya ini menjadi iktibar kepada Pakatan Harapan untuk PRU akan datang.
"Keputusan PRN Sarawak ini memberi rangsangan kepada Amanah untuk terus bergerak ditengah-tengah masyarakat dalam arena politik demokrasi tempang di Malaysia ini. Kita akan berusaha habis-habisan untuk muncul sebagai pemenang utama pada PRU akan datang," katanya.
Keputusan PRN Sarawak semalam membuktikan BN masih kekal utuh, BN menang 72 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, sementara parti pembangkang terdiri daripada DAP 7 kerusi dan PKR 3 kerusi. Manakala Amanah dan Pas gagal memenangi kerusi.