Wanita Jaga Suami Sakit Di Baling Perlu Bantuan

Wakil pejabat Dun Bayu bersama kakitangan Perkeba dan Ruslan (kanan) menziarahi pesakit.
BALING - Seorang wanita memerlukan bantuan kewangan dan lampin pakai buang untuk suaminya yang terlantar akibat sakit diabetes di rumahnya di Kampung Tanjung Merbau di sini, sejak dua bulan lalu.

Salmah Awang, 51, berkata, suaminya, Mohd Radwan Ismail disahkan menghidap penyakit itu sejak 17 tahun lalu, sebelum kaki kanannya terpaksa dipotong sekitar 2011.

Menurutnya, sebelum ini suaminya bekerja menoreh getah, namun kini kesihatannya semakin merosot dan hanya mampu terlantar di rumah.

“Sekarang saya terpaksa menjaganya kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan,” katanya

Kata Salmah, mereka sekeluarga hilang tempat bergantung setelah suaminya tidak mampu untuk bekerja mencari rezeki dan hanya bergantung kepada perniagaan runcit secara kecil-kecilan, selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan.

“Pendapatan runcit tak menentu, tapi bolehlah saya gunakan bagi menguruskan perbelanjaan keluarga termasuk menanggung kos rawatan suami setiap bulan.

“Setiap bulan suami perlu ke hospital naik teksi, selain itu saya perlu beli keperluan perubatan RM100 sebulan, termasuk kos lampin pakai buang, dalam sehari suami memerlukan empat hingga lima keping lampin,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu 42, Bukit Tok Kaya, Ruslan Mat Desa, berkata, pihaknya berharap jasa baik mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau agensi lain membantu nasib keluarga ini.

Dalam pada itu, wakil Pejabat Dun Bayu bersama Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling (Perkeba), Ketua Cawangan Umno Tanjung Merbau serta JKKK menziarahi pesakit berkenaan.

Bagi yang ingin membantu boleh salurkan bantuan ke Bank Simpanan Nasional nombor akaun 02118-29-00015224-5 atau hubungi mereka di talian 013-4158096.

Sumber: Sinar Harian