Yazit Tak Mahu Minta Maaf, Buat Satu Lagi Laporan Polis

Yazit mempertahankan dakwaan yang dibuat terhadap Search. FOTO:KAMARUL ARIFFIN
KUALA LUMPUR - Kemelut antara Yazit Ahmad dan anggota kumpulan Search yang lain semakin berpanjangan apabila dia enggan menarik balik laporan polis yang dibuatnya selain tetap mempertahankan keputusan dengan mengatakan anggota kumpulan itu melakukan pecah amanah.

Yazit , 54, juga enggan membuat permohonan maaf seperti diminta sebaliknya akan membuat satu lagi laporan polis pada petang Khamis terhadap beberapa dakwaan penyelewengan ahli kumpulan itu.

"Saya tidak akan memohon maaf atau menarik balik laporan polis yang telah saya lakukan itu. Malah saya akan menambah satu lagi laporan yang akan dibuat di Balai Polis Wangsa Maju.

"Mereka juga berhak mengenakan apa juga tindakan termasuk bawa kes ini ke mahkamah," ujarnya.

Yazit berkata demikian pada sidang media khas yang diadakan di Restoran House G Tower, di sini, petang Khamis.


Dia ditemani peguamnya Mohamad Saiful Dzulhelmi Zulkifli.

Bagaimanapun, dia enggan menjelaskan butiran laporan polis kedua yang bakal dilakukan petang Khamis kerana mahu mengikut prosedur undang-undang yang betul.

Terdahulu, Yazit membuat sebuah laporan polis pada 4 Mei di Balai Polis Wangsa Maju terhadap dakwaan pecah amanah.

Search pula pada Rabu melakukan sidang media dengan mempertahankan diri sambil menuntut  Yazit memohon maaf secara terbuka dan diberi masa 48 jam berbuat demikian.

Sementara itu, Yazit turut meluahkan rasa kecewa apabila salah seorang ahli Search cuba menafikan haknya dalam urusan pembayaran wang pendahuluan untuk Konsert 35 Tahun Search yang akan berlangsung Ogos depan.

Katanya, dia mengetahui namanya telah dikeluarkan daripada perjanjian persefahaman antara Search dan penganjur iaitu Afjets Sdn Bhd.

"Hasil siasatan saya pada awalnya perjanjian itu ada lima nama dan selepas itu salah seorang ahli kumpulan tersebut meminta nama saya dikeluarkan.

"Selepas itu, bayaran pendahuluan sebanyak 30 peratus iaitu RM75,000 telah dibayar atas nama persendirian kepada empat ahli itu sahaja. Saya sedih kerana mereka tidak memikirkan tentang saya sedangkan saya paling memerlukan wang," ujarnya.


Ditanya tentang konsert yang bakal berlangsung, Yazit berkata, dia sudah tawar hati untuk terlibat dengan persembahan itu.

Bagaimanapun, dia tetap menuntut bayaran yang bakal diterima untuk konsert berkenaan berikutan dia merupakan pengasas dan ahli lembaga pengarah untuk syarikat pengurusan kumpulan legenda itu GoSearch.

"Untuk apa saya bermain pada konsert tersebut jika ada rasa kurang senang antara satu sama lain. Saya tidak suka bersikap hipokrit," ujarnya yang kini menderita akibat komplikasi buah pinggang.

Sumber: mStar