107 Kes Penyakit HFMD Di Kedah Sejak April Lalu

Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)
ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri Kedah merekodkan 107 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini bagi tempoh 3 April hingga 11 Jun lepas.

Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata bagi minggu ke-14 bermula 3 hingga 9 April lepas, tujuh kes wabak dicatatkan iaitu lima wabak berlaku di rumah dan dua berlaku di tadika.

Beliau berkata, bagi minggu ke-17 (24-30 April) sebanyak 17 kes dilaporkan berbanding lapan kes pada minggu ke-16 (17-23 April).

Katanya sebanyak 41 kes dicatatkan bagi minggu ke-22 (29 Mei-4 Jun), iaitu kes tertinggi yang dicatatkan dan telah melepasi paras epidemik bagi negeri ini iaitu 34 kes.

"Jumlah kes sedikit menurun kepada 34 kes pada minggu ke-23 (5-11 Jun)," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Norhizan berkata, kes HFMD di negeri ini menunjukkan penurunan kes kepada 265 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 11 Jun lepas berbanding 290 kes bagi tempoh sama pada tahun 2015.

Penyakit HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71) dan ianya merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis mereka yang berpenyakit dengan tempoh inkubasi adalah tiga hingga lima hari.

Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam, melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah dan hampir keseluruhan pesakit yang mengidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan perubatan dalam masa tujuh hingga 10 hari.

Penyakit ini cepat menular dengan kadar hampir 100 peratus dalam kalangan kanak-kanak kurang daripada 10 tahun terutamanya di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska dan tadika.

"Kita nasihatkan kepada ibu bapa atau penjaga sekiranya kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan agar tidak membawa anak ke tempat-tempat awam seperti sekolah dan tadika serta perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin.

"Pihaknya telah mengeluarkan amaran peningkatan kes HFMD kepada semua

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di negeri ini pada 7 Mei lepas agar mereka dapat mempertingkatkan pendidikan kesihatan dan memberi taklimat kepada orang ramai serta membuat pemantauan di tadika dan taska," katanya. - Bernama