Setelah 12 minggu bertempur menghadapi pelbagai ujian, gelanggang Akademi Silat Pendekar Muda akan menemui Juara Musim Pertama.
Gelanggang tempur siri final akan disiarkan secara langsung dari Shah Alam mulai 9 malam, Rabu 1 Jun, malam ini.
Setelah bertempur mulai 9 Mac lalu, hanya empat daripada 10 pendekar muda berjaya ke final sebelum bergelar juara.
TV Alhijrah akan menyiarkan secara langsung program final anjuran Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Pertubuhan Daie Muda.
4 pendekar muda finalis ialah Ahmad Syahmi Shaari (Amy) wakil Kuala Lumpur, Mohammad Syahmi Azri Zaini (Ayie) wakil Johor, Muhammad Adib Jamaludin (Adib) dan Mohd. Syamil Jamal (Syamil) dua finalis anak jati Kedah.
Pentas tontonan Akademi Silat Pendekar Muda dibuka secara percuma. Penonton sekitar Shah Alam dijemput hadir untuk melihat secara langsung tempur final di Kompleks Sukan Negara Panasonic Shah Alam atau di Layar Besar Dataran Merdeka Kuala Lumpur. –Kedahnews.com