34 Peniaga Pasar Souq Al-Bukhary Saman MBAS RM3.4 Juta

Mohd Hilmi (tiga, kanan) melihat writ saman yang difailkan mereka.
ALOR SETAR - Kira-kira 34 peniaga Pasar Basah Souq Albukhary memfailkan saman terhadap Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sebagai tuntutan ganti rugi berhubung kehilangan punca pendapatan dialami mereka.

Kumpulan peniaga terlibat memfailkan saman berkenaan melalui peguam, Datuk Dr Aswandi Mohamed Hashim di Mahkamah Tinggi Alor Setar, di sini, semalam.

Setiap peniaga menuntut kerugian RM100,000 menjadikan jumlah keseluruhan tuntutan RM3.4 juta.

Dalam writ saman itu, peniaga selaku plaintif menamakan MBAS, dahulunya dikenali Majlis Perbandaran Kota Setar (MPKS) sebagai defendan berikutan lot tanah dahulunya dimiliki PBT itu, sebelum dijual kepada Bukhary Realty Sdn Bhd.

Dalam penyataan tuntutan, peniaga yang menjalankan perniagaan sejak 2003 mendakwa diarahkan berpindah ke tapak sementara di belakang Taman PKNK selepas persetujuan antara kedua pihak berkaitan.

Pada 2005, peniaga diberi kebenaran meneruskan operasi mereka di lot niaga disediakan di pasar basah baharu di tanah berkenaan di bawah pengurusan syarikat dilantik Bukhary Realty Sdn Bhd.

Namun, peniaga terlibat didakwa menerima notis menghentikan operasi perniagaan pada 17 Mei 2015, sekali gus diminta berpindah ke tapak pasar basah sementara mulai 7 hingga 18 Mei 2015.

Bagaimanapun, peniaga memaklumkan mereka enggan berpindah ke tapak sementara berikutan lokasi disediakan dianggarkan terletak kira-kira tujuh kilometer (km) dari tempat asal.

Terbaharu, peniaga akhirnya akur apabila terpaksa menutup perniagaan mereka apabila menerima perintah mahkamah agar mengosongkan lot niaga 16 Mei lepas.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Membantah Perpindahan Peniaga, Mohd Hilmi Mohd Isa, 43, berkata, peniaga memfailkan saman berkenaan demi membela nasib mereka.

Katanya, peniaga mendakwa menerima kesan dari segi kehilangan punca pencarian hidup dan emosi terjejas selepas diminta keluar.

Tambahnya, mereka difahamkan kini hanya tinggal 15 tapak niaga untuk peniaga dari Pasar Basah Souq Al-Bukhary di tapak sementara itu, padahal bilangan mereka 39 orang.

Menurut peguam mewakili kumpulan peniaga, Dr Aswandi, peniaga selaku plaintif memohon ganti rugi bernilai RM100,000 kepada setiap mereka akibat penyerahan milikan kosong lot perniagaan kepada Bukhary Realty Sdn Bhd.

Beliau berkata, defendan turut diminta menyediakan tapak baharu ataupun kekal kepada peniaga terlibat bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan.

Sebelum ini, kemelut melanda kumpulan peniaga pasar basah dilaporkan bermula sejak dua tahun lepas, apabila lesen perniagaan pasar berkenaan tamat pada 2014, sebelum ia ditutup pada 16 Mei lepas.

Disebabkan itu, peniaga pasar basah dipercayai terpaksa menghentikan operasi perniagaan untuk mematuhi arahan mahkamah, malah kerja merobohkan bahagian terlibat turut berjalan.

Namun begitu, ada peniaga mendakwa mereka tidak dapat menjalankan perniagaan disediakan di pasar sementara di Hutan Kampung, di sini, apabila perlu mengisi borang permohonan dahulu.

Sementara itu, peniaga daging, Abdul Latif Abdul Wahab, 51, berkata, dia mendakwa terpaksa menjalankan perniagaan di kediamannya di Sungai Baru, di sini, selepas kehilangan tempat berniaga.

Katanya, dia terpaksa mengambil keputusan itu sebagai jalan menyara keluarga.

“Jalan terakhir, saya terpaksa memproses daging di belakang rumah, memandangkan bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan daging untuk menyara keluarga,” katanya.

Sumber: Sinar Harian