48 Keluarga Di Baling Sambut Ramadhan Tanpa Air Bersih

BALING - Sebanyak 48 keluarga melibatkan 120 orang di Kampung Kaki Bukit, Rambong Batu 7 di sini terpaksa menyambut Ramadan dalam keadaan tiada bekalan air bersih.

Kalangan penduduk kampung itu mendakwa masalah itu dialami sejak setahun lalu dan sudah diajukan kepada pihak Syarikat Air Darulaman (Sada) namun tiada maklum balas sehingga kini.

Mereka juga terpaksa membayar bil air RM6 setiap bulan walaupun tidak menerima bekalan air.

Tinjauan pemberita ke kampung berkenaan mendapati penduduk terbabit terpaksa menggunakan bekalan air dari Bukit Cabang dengan cara menyambungkan paip sepanjang dua kilometer dari bukit itu, namun tekanan sangat rendah selain air yang keruh.

Fakrul Razi Ahmad,55, berkata, setiap kali hujan air daripada bukit tersebut akan bertukar menjadi keruh namun mereka tiada pilihan selain terpaksa menggunakan air tersebut untuk keperluan harian.

Malah dia dan penduduk yang terlibat juga bimbang akan ketiadaan punca bekalan air susulan kawasan bukit tersebut dikatakan akan dimajukan untuk pembalakan.

"Kami bimbang, jika kawasan bukit itu dimajukan untuk penebangan pokok balak ia akan menyusahkan penduduk kerana jika berlaku pembalakan di kawasan itu punca air kami akan terputus", katanya ketika ditemui Bernama.

Bagi Mat Khir Ramli, 61, beliau berharap dan merayu agar Sada dapat melakukan sesuatu yang membolehkan 48 keluarga di kampung berkenaan dapat mengunakan bekalan air Sada terutama ketika umat Islam sedang menunaikan puasa.  

Dia turut berharap Ahli Dewan Undangan Negeri Bayu, Datuk Azmi Che Hussein dan Anggota Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim agar memberikan perhatian terhadap masalah dihadapi mereka.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Sada, Rofedi Sulaiman berkata, pihaknya sedar masalah bekalan air di kawasan kampung yang terletak di kawasan tinggi.

Katanya, Sada akan melakukan pemeriksaan di kampung itu pada masa terdekat bagi mengenal pasti punca masalah itu. - Bernama