Seorang wanita dituduh melakukan kekejaman terhadap haiwan selepas dia mencipta kek berbentuk haiwan yang sangat menakjubkan.
Kek berbentuk haiwan ciptaan Hannah Edwards, 33, sangat realistik sehingga aktivis haiwan bimbang ia bakal dipotong dengan pisau.
Hannah yang berasal dari Hertfordshire, Britain berkata, dia mula membuat kek berbentuk haiwan berkenaan tiga tahun lalu untuk majlis ulang tahun kelahiran anak lelakinya.
“Anak lelaki saya suka berlari dan berguling, jadi saya membuatkan kek berbentuk singa.
“Saya tidak menyukai kek itu tetapi anak saya dan rakan-rakan yang lain sangat kagum dengan ciptaan saya itu,” katanya.
Ujarnya, kehidupannya tidak menentu selepas dia bercerai dengan suaminya dan kehilangan kerja sebagai jurugambar.
“Ketika itu saya berkata kepada kawan-kawan saya: “Apa yang boleh saya lakukan?”.
“Kawan-kawan saya menjawab: “Buat kek, kamu sangat hebat membuat kek berbentuk haiwan dan pasti ada seseorang yang akan membelinya,” katanya.
Ujarnya, kini dia mempunyai senarai menunggu untuk tempahan keknya selama enam bulan.
Sebuah kek berharga £150 (RM880) hingga £2500 (RM14,700) dan mengambil masa hingga 80 jam untuk disiapkan.
Hannah juga memuat naik kek berbentuk haiwan seperti kucing, anjing, penguin dan haiwan lain di Facebook serta mendapat sambutan daripada pengguna.
Bagaimanapun, rekaan keknya yang kelihatan seperti haiwan sebenar menyebabkan beberapa aktivis haiwan mengecamnya kerana bimbang ia boleh menggalakkan kekejaman terhadap binatang.
“Ada pengguna menuduh saya kejam kerana kek berbentuk haiwan itu bakal dipotong dan dimakan.
“Malah, ada yang membuat aduan di Facebook dan menuduh saya menggalakkan kekejaman terhadap haiwan.
“Namun, Facebook tidak membuat sebarang tindakan terhadap gambar saya kerana ia hanya kek yang perlu dipotong untuk dimakan,” jelasnya.
Tambahnya, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dia tidak berniat untuk berhenti membuat kek kerana ia sudah menjadi kariernya.
“Perjalanan saya ke tempat kerja hanya berjalan ke dapur. Saya kini mempunyai banyak masa untuk bersama anak saya,” katanya. -Agensi