Aliff Syukri menyampaikan buah tangan kepada Datin Seri Hizam Awang Ahmad. |
ALOR SETAR - Pengasas dan pemilih syarikat D’Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dilapor antara yang hadir di Pusat Pakar Perubatan Kedah (KMC) untuk menziarah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah semalam.
Menurut sumber, usahawan kosmetik itu secara kebetulan berada di Alor Setar untuk urusan tertentu namun sempat meluangkan masa menziarahi Ahmad Bashah yang dimasukkan ke hospital berkenaan pada lewat petang Sabtu.
Bagaimanapun, Aliff Syukri tidak dibenarkan menemui Ahmad Bashah yang kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi memberi ruang kepada Menteri Besar berkenaan berehat tanpa diganggu.
Kunjungan Aliff Syukri tidak dihampakan apabila beliau disambut isteri Ahmad Bashah, Datin Seri Hizam Awang Ahmad.
Ahmad Bashah dikejarkan ke hospital selepas mengadu keletihan dan pening pada Sabtu lalu sebelum dimasukkan ke wad di KMC.
Menteri Besar Kedah sebelum itu menghadiri mesyuarat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) di Hotel Grand Alora pada pukul 7 malam dan dikejarkan ke hospital kira-kira 7.15 malam.
Sebelum ini Ahmad Bashah dan Aliff Syukri pernah mengadakan beberapa pertemuan berhubung isu penajaan untuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bernilai RM30 juta.
Bagaimanapun perbincangan panjang antara kedua-dua pihak gagal apabila KFA yang diterajui Ahmad Bashah menolak tajaan berkenaan kerana sukar memenuhi syarat usahawan muda yang lebih terkenal dengan panggilan 'abang terlajak laris' itu.
Aliff Syukri kemudian mengecam Ahmad Bashah mendakwa Menteri Besar itu berbohong dan menegaskan kononnya beliau ditawar KFA untuk satu projek usahasama membangunkan sebidang tanah bernilai ratusan juta yang terbengkalai di Pokok Sena.
Bagaimanapun, KFA menafikan pernah menawarkan tanah tersebut di dalam pakej tajaan berkenaan dan menegaskan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika Aliff Syukri terus mengeluarkan kenyataan tidak tepat mengenai isu tajaan itu.
Difahamkan wujud salah faham di dalam pertikaian tajaan tersebut yang melibatkan syarikat tertentu yang kononnya mewakili KFA dan menawarkan projek usahasama berkenaan, sedangkan tanah itu bukan milik persatuan bolasepak terbabit. -Kedahnews.com