Afidavit Mahathir Hanyalah Keterangan "Hearsay" - Peguam

Mahathir bersama "sahabat baik baru"nya, Lim Kit Siang
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini Selasa diberitahu bahawa keseluruhan afidavit Tun Dr Mahathir Mohamad adalah berunsur keterangan dengar cakap yang tidak berada dalam pengetahuan beliau sendiri.

Pada 15 Februari tahun ini, Dr Mahathir, yang juga bekas perdana menteri, memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib berkata keterangan yang diberikan oleh Dr Mahathir adalah pandangan beliau semata-mata sebagai bekas Perdana Menteri yang sentiasa memantau perubahan politik dari luar.

Beliau berkata, kenyataan Dr Mahathir juga dibuat tanpa mendedahkan identiti pemilik akaun YouTube Mohd Hafarizam berkata demikian kepada pemberita dalam semasa berhujah dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin.

"Saya menyatakannya sebagai keterangan dengar cakap kerana tulisan Tun Dr Mahathir tidak mempunyai dokumen lain untuk menyokong blog (CheDet)," katanya kepada pemberita selepas selesai berhujah berhubung permohonan Najib untuk membatalkan afidavit yang diikrarkan oleh Dr Mahathir.

Mohd Hafarizam berkata catatan Dr Mahathir dalam blognya adalah berdasarkan kepada pengalaman beliau semasa mentadbir kerajaan dan kini beliau tidak lagi terlibat dalam pentadbiran kerajaan sekarang.

Oleh itu, beliau berkata, mahkamah harus membenarkan permohonan anak guamnya untuk membatalkan afidavit Dr Mahathir.

Peguam Yeoh Cho Kheong yang mewakili Dr Ling memberitahu pemberita bahawa afidavit Dr Mahathir bukan berunsur keterangan dengar cakap dan ia harus kekal dalam permohonan Dr Ling untuk membatalkan saman Najib.

Hakim Nor Bee menetapkan 18 Julai ini untuk membuat keputusan mengenai permohonan Perdana Menteri.

Perdana menteri pada 27 Oktober tahun lepas memfailkan saman terhadap Dr Ling atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya yang disiarkan menerusi artikel dalam sebuah portal berita pada 3 Oktober tahun lepas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Najib antara lain memohon perintah supaya bekas menteri pengangkutan itu menyiarkan kenyataan memohon maaf dalam akhbar atau majalah yang ditentukan oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang ditentukannya.

Najib juga memohon perintah injunksi untuk menghalang Dr Ling atau kakitangannya atau ejennya daripada terus mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah atau apa-apaB perkataan berbaur fitnah terhadapnya.

Beliau memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Najib juga mendakwa bahawa Dr Ling secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu acara di sebuah kolej universiti di sini, yang disiarkan dalam satu artikel dalam portal berita pada 3 Oktober 2015.

Perdana menteri berkata perkataan berbuar fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau (Najib) telah menyalahgunakan dana kerajaan ke dalam akaun peribadi untuk kepentingan peribadi, menyalahguna dana syarikat pelaburan milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta tidak kompeten dan layak untuk menjadi ketua kerajaan atau perdana menteri Malaysia.

Dr Ling telah memohon untuk membatalkan saman yang difailkan Najib atas alasan ia menyalahgunakan proses mahkamah. - BERNAMA