ALOR SETAR - Datuk Seri Ahmad Bashah buat pertama kalinya "berehat" dari tugas beliau setelah belum pernah mengambil cuti walau sehari sejak dilantik menjadi Menteri Besar Kedah pada 4 Februari lalu.
Ahmad Bashah hanya berjaya "dipaksarehat" oleh doktor sejak semalam di Pusat Perubatan Pakar Kedah (KMC) di sini akibat keletihan setelah mengabaikan nasihat doktor untuk berbuat demikian sebelum ini.
"Biasalah Syed penat sikit sahaja, banyak kerja tak selesai, saya kena marah dengan doktor pasai tak mahu rehat," kata Ahmad Bashah kepada Naib Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri yang melawat beliau.
Ahmad Bashah dilaporkan mengalami sindrom keletihan melampau ketika hadir di sebuah program semalam di sini dan terpaksa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Walau dikecam pihak tertentu, khususnya penyokong bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai "MB lena", Ahmad Bashah tidak peduli dengan provokasi tersebut, sebaliknya terus memberi khidmat kepada rakyat setiap hari tanpa cuti walau sehari.
Difahamkan, Mukhriz sebelum ini dikatakan tidak betah di Kedah dan sering berulang alik ke Kuala Lumpur setiap minggu bertemu keluarganya yang enggan tinggal di Kedah selain mengambil cuti melancong bersama keluarga ke luar negara.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin semalam menafikan Ahmad Bashah rebah atau jatuh pengsan seperti yang didakwa beberapa media, sebaliknya menjelaskan beliau hanya mengalami sindrom letih dan memerlukan rehat. -Kedahnews.com