Ahmad Bashah Kian Pulih Lepas Pembedahan Usus


GEORGETOWN – Tahap kesihatan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah semakin pulih selepas menjalani pembedahan komplikasi usus, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata Ahmad Bashah kini sudah sedar dan boleh minum dengan sendiri.

“Beliau kini sudah boleh dipindahkan ke wad biasa, akan tetapi beliau meminta untuk ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk privasinya,” katanya ketika ditemui pemberita di luar bilik ICU Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam.

Sebelum itu Dr Hilmi melawat Menteri Besar Kedah itu dengan diiringi Pengarah HPP Datuk Dr M. Sukumar

Sementara itu, Pakar Perunding Anestesiologi HPP Datuk Dr Jahizah Hassan berkata Ahmad Bashah dijangka dibenar keluar hospital antara tempoh seminggu hingga 10 hari dari sekarang.

Selain Dr Hilmi, Ahmad Bashah turut menerima kunjungan Tunku Laksamana Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab dan Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Farildlatrash Wahid.

Terdahulu, lapan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Ketua Pembangkang Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid turut melawat Ahmad Bashah.

Jahara yang juga ADUN Teluk Air Tawar berkata kami doakan beliau cepat sembuh supaya boleh kembali berkhidmat.

Pada Isnin, Ahmad Bashah dipindah ke HPP dari Kedah Medical Centre (KMC), Alor Setar berikutan hospital itu mempunyai kelengkapan yang lebih terkini.

Ahmad Bashah dirawat di KMC selepas beliau pitam ketika menghadiri mesyuarat dengan anggota dewan undangan negeri Barisan Nasional Kedah di Hotel Grand Alora, Alor Setar pada kira-kira 7 malam Sabtu lepas. – BERNAMA