Ahmad Bashah Selesai Jalani Pembedahan, Kini Stabil


GEORGETOWN – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selesai menjalani pembedahan di bahagian usus kira-kira jam 3 pagi tadi.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata Ahmad Bashah menjalani pembedahan itu kira-kira jam 10 malam tadi dan selesai jam 3 pagi ini.

“Pada masa kini Menteri Besar berada dalam keadaan stabil dan beliau sedang berehat atas nasihat doktor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Ahmad Bashah dipindah ke Hospital Besar Pulau Pinang daripada Kedah Medical Centre (KMC), Alor Setar berikutan hospital itu mempunyai kelengkapan yang lebih terkini dan lengkap.

Sebelum ini Ahmad Bashah di rawat di KMC selepas beliau pitam ketika menghadiri mesyuarat dengan anggota dewan undangan negeri Barisan Nasional Kedah di Hotel Grand Alora, Alor Setar pada kira-kira 7 malam Sabtu lepas. – BERNAMA