"Ahmad Bashah Tidak Pengsan, Tidak Rebah" - Shaiful Hazizy

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin
ALOR SETAR - Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah rebah atau jatuh pengsan.

Jelas beliau, Ahmad Bashah berada di dalam keadaan stabil dan hanya keletihan selain diarahkan berehat buat sementara waktu.

"Segala makluman tentang beliau pengsan dan rebah itu tidak benar.

"Datuk Seri MB dalam keadaan stabil. Beliau keletihan dan diarahkan untuk berehat," jelasnya kepada Kedahnews.com sebentar tadi.

Shaiful Hazizy berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi esok dan berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan mencetus spekulasi tidak benar tentang Ahmad Bashah, khususnya di media sosial.

Difahamkan jadual Ahmad Bashah sangat padat setiap hari sehingga menyebabkan beliau boleh diktakan belum pernah bercuti sejak dilantik menjadi Menteri Besar Kedah pada 4 Februari lalu hingga kini.

Selain itu, ekoran kerja keras beliau memberi khidmat kepada rakyat Kedah selaku Menteri Besar, beliau dikatakan turut menyebabkan berat badannya susut sedikit berbanding sebelum ini. - Kedahnews.com