Aidilfitri: Ada Peniaga Ambil Kesempatan Naikkan Harga

Gambar Hiasan
KEMAMAN – Kenaikan harga bekalan bahan mentah seperti ayam dan daging pada musim perayaan bukanlah disebabkan bekalan yang berkurangan sebaliknya ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap pembeli, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery berkata sememangnya pada musim perayaan kecenderungan pembeli untuk membeli lebih daripada kuantiti biasa adalah tinggi dan ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap kegairahan pembeli.

“Ini antara perkara yang perlu diingat sebenarnya kalau harga naik bukan kerana bekalan kurang tetapi harga naik kerana peniaga yang ambil kesempatan dalam kegairahan orang ramai untuk membeli pada waktu sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan Peringkat Daerah Kemaman semalam.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohammad Omar.

Shabery berkata pihaknya juga menjamin bekalan ayam menjelang Aidilfitri mencukupi berdasarkan persediaan dan pemantauan yang telah dilakukan Jabatan Veterinar.

“Insya-Allah daripada apa yang dipantau oleh Jabatan Veterinar bekalan ayam mencukupi kerana ayam yang kita peroleh hari ini adalah ayam yang sudahpun mula dipelihara kira-kira 45 hari yang lalu dan berdasarkan jumlah tetasan kita menganggap bahawa bekalan mencukupi sehingga perayaan.

“Mengenai peniaga yang mengambil tindakan menaikkan harga, saya percaya pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan sentiasa memantau perkara ini terutama sekali kalau ada peniaga yang menaikkan harga di luar daripada harga siling yang ditentukan,” katanya. – BERNAMA