Aidilfitri: PLUS Tawar Rebat 30 Peratus


KUALA LUMPUR – Sempena Aidilfitri yang bakal menjelang, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menawarkan rebat tol 30 peratus kepada pengguna rangkaian lebuh raya kendaliannya yang membayar tol secara elektronik.

Tawaran itu bagi pengguna kad PLUSMiles, Touch n Go atau SmartTAG.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata rebat tol tersebut ditawarkan kepada pengguna kenderaan kelas 1 yang berbuat demikian pada hari-hari bukan puncak iaitu 4, 8 dan 11 Julai yang melibatkan perjalanan melebihi 100 kilometer.

Noorizah dalam kenyataan kelmarin berkata pengguna masih perlu membuat bayaran tol seperti biasa tetapi rebat tol 30 peratus tersebut boleh ditebus dalam bentuk tambah nilai antara 15 Ogos dan 14 Nov di semua pusat khidmat pelanggan lebuh raya PLUS.

Katanya PLUS juga menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai langkah membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa pada musim perayaan. – BERNAMA