Allahyarham Ustaz Abdul Aziz Hanafi Berdakwah Hingga Nafas Terakhir


JITRA - Sungguh hebat bakat kurniaan ALLAH SWT kepada Tokoh Pendakwah Maulidur Rasul tahun ini, Allahyarham Prof Madya Datuk Dr Abdul Aziz Hanafi, 68, apabila dia masih mampu memberi ceramah sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, semalam akibat komplikasi buah pinggang.

Menurut isteri Allahyarham, Datin Khuzaimah Idris, 66, suaminya enggan berhenti memberi ceramah kepadanya dan petugas hospital dan 99 peratus disampaikan di dalam bahasa Arab

“Setiap kali dia ceramah saya cuba hentikan, tapi dia marah sambil berkata, jangan tutup mulut abang, abang nak mengajar sampai habis, nak bagi ilmu,“ katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Khuzaimah, antara tajuk ceramah yang disampaikan Allahyarham adalah berhati-hati dengan syiah dan sirah Sohabah.

“Malah dia pernah berkata, abang rela mati kerana mempertahankan sahabat-sahabat dan isteri-isteri nabi daripada dimaki hamun oleh syiah laknatullah. Dia juga pernah pesan jangan jadikan Malaysia seperti Syria dan beberapa negara lagi yang disembelih oleh Syiah mentah-mentah,” katanya.

Khuzaimah berkata, suaminya merupakan penentang Syiah sejak 1974 sewaktu dia mengikuti pengajian sarjana di Mesir.

Tambahnya, Allahyarham dimasukkan ke hospital pagi Rabu lepas selepas mengadu kurang sihat.

“Dia hubungi dua rakan karibnya, Din dan Manaf yang juga pemandu teksi untuk hantar ke hospital kira kira jam 10 pagi. Saya tidak ikut kerana ada kelas di rumah,” katanya.

Jenazah disembahyangkan di masjid Al Muttaqin Bandar Darulaman dan disemadikan di Muassasah Darul Ulum Pokok Sena, semalam.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Ikhrami, 40; Widad, 36 dan Hisham, 32 berserta empat cucu.

Allahyarham Abdul Aziz merupakan Dekan Kulliyah Syariah Kolej Universiti Insaniah dan pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1433H/2011 Peringkat Negeri Kedah.

Beliau yang dilahirkan pada 28 Julai 1948 mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kodiang dan Sekolah Menengah Agama Alawiah, Kangar.

Beliau kemudian menyambungkan pelajaran ke Kolej Islam Malaysia dan memperoleh Diploma Pendidikan.

Kemudian menyambung pelajaran ke Universiti Al-Azhar dalam bidang Syariah sekitar tahun 1972 hingga 1984.

Beliau turut terlibat dalam menyampaikan kuliah di radio, mengajar kitab di masjid-masjid dan juga menyertai seminar di peringkat negeri dan kebangsaan dalam usaha mengembangkan syiar Islam.

Sumber: Sinar Harian