Amiruddin Letak Jawatan, Peluang Tawan Kubu PAS - Abdullah Hasnan

Abdullah Hasnan (lapan, kanan) menaikkan bendera Umno dalam majlis itu.
ALOR SETAR - Umno Kuala Kedah menyifatkan mereka memiliki peluang untuk menawan kubu kuat Pas selepas ketiadaan tonggak utama mereka, Adun Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah meletakkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Pas Kuala Kedah, awal Mei lepas.

Menurut Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdullah Hasnan, ketiadaan beliau memberi peluang kepada Umno mendekati peringkat bawahan parti berkenaan.

“Apa yang boleh saya katakan, jikalau tiada krisis beliau tidak akan meletakkan jawatan, bagaimanapun sejauh mana besar krisis berkenaan tidak ketahui. Malah, kita hanya mampu membuat andaian mengenai peletakan itu.

“Tetapi dengan adanya krisis sedemikian, kita harap ahli parti berkenaan dapat berfikir dan melihat dengan jelas di sekeliling mereka bahawa parti yang mampu membela nasib mereka adalah Umno,” katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam Majlis Mesra Muafakat Hari Umno Ke 70 Parlimen Kuala Kedah di Mada Ampang Jajar, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Bahagian Umno Kuala Kedah, Ir Zainal Alam Bakar dan Naib Ketua Umno Kuala Kedah, Datuk Abdul Mutalib Harun.

Katanya, tidak dinafikan Kuala Kedah merupakan antara kubu kuat mereka, namun pun begitu pihaknya yakin strategi tersendiri digunakan untuk mendekati masyarakat setempat, mampu memberi kesan positif.

Abdullah Hasnan berkata, beliau cukup yakin bahawa dengan kerja baik yang memberi manfaat kepada masyarakat, disusuli doa kepada Allah SWT akan membuka hati mereka untuk memberi sokongan kepada Umno.

Sebelum ini, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Pas Kuala Kedah berkuat kuasa serta merta, namun masih kekal bersama Pas dan memegang jawatan lain, antaranya Ketua Pembangkang Dun Kedah.

Dalam perkembangan lain, kata Abdullah Hasnan, pihak mereka memberi keterangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) untuk meningkatkan daftar pemilih di kawasan Kuala Kedah.

Katanya, usaha berkenaan perlu dilakukan demi memberi kefahaman kepada ahli Umno tertentu yang dikhuatiri masih belum mendaftar sebagai pemilih, malah ada kes penduduk bermastautin lama di kawasan berkenaan mengundi di tempat kelahiran mereka.

Sumber: Sinar Harian