Anak Berjudi Euro 2016, Ibu Bapa Teruk Tanggung Kad Kredit

Gambar Hiasan
JOHOR BHARU - Pastikan bil kredit kad diperiksa dengan teliti sekiranya jumlah bayaran semakin meningkat.

Ia berlaku kerana ada kemungkinan anak-anak anda menggunakannya untuk berjudi secara atas talian terutamanya musim Euro 2016 yang sedang berlangsung.

Menurut Jimmy Tan yang menguruskan pusat pemulihan penjudi berkata, remaja berusia seawal 13 tahun telah berjudi dan berhutang sebanyak RM100,000.

"Dengan internet dan telefon pintar, amat mudah untuk berjudi.

"Terdapat juga sekumpulan yang merekrut pelajar-pelajar sebagai ejen untuk memaksa pelajar lain agar menyertai aktiviti judi.

"Setiap ejen yang dilantik akan menerima RM200 yang akan digunakan untuk memberi gajet-gajet dan telefon bimbit," jelasnya dalam satu temubual.

Pelajar-pelajar yang direkrut akan diberi alamat laman web dan log masuk.

"Semua pelajar mula memasukkan butiran kad kredit ibu bapa mereka dan mula berjudi," jelasnya sambil menambah jika pelajar-pelajar itu kehabisan wang, mereka akan mendapatkan pinjaman dengan 'Along'.

Tan yang menguruskan Pusat Pemulihan Hope bagi penjudi bersama isterinya, Serena Sitoh turut meluahkan kebimbangan terhadap tempoh panjang aksi Euro 2016 yang akan berakhir 11 Julai ini.

"Bagi pusingan akhir, jumlah penjudi akan bertambah. Ramai orang akan terlibat dengan pinjaman dengan Along," katanya.

Tambahnya, pusat perjudian yang menyediakan mesin berjudi juga turut bermasalah.

Jelas Tan yang sebelum ini membantu di pusat pemulihan judi di Macau dan Hong Kong, dia banyak melihat kemusnahan hidup akibat berjudi.

"Saya dan isteri turut menjadi sebahagian daripada pasukan yang bekerja di pusat dan memberi kaunseling kepada 5,000 penjudi lebih kurang 10 tahun lalu," jelas Tan.

Menurut Tan dia mahu memberi peluang kedua kepada mereka yang terlibat selepas berdepan dengan ahli keluarga sendiri yang berjudi.

"Kami kembali ke Malaysia pada September 2013 dan memulakan pusat ini. Setakat ini kami telah mengambil sebanyak 60 kes judi melibatakan mangsa berusia 13 hingga 79 tahun," jelasnya sambil menambah program ini adalah percuma.

Dalam pada itu, Tan memberi tahu bukan mudah memulihan penjudi-penjudi memandangkan peratusan untuk kembali ke tabiat lama sangat tinggi jika tidak dipantau.

Ditanya mengenai sumber kewangan dalam menguruskan pusat bagi program ini, Tan menjelaskan ia adalah duit dari poketnya sendiri, namun mengalu-alukan sumbangan daripada orang awam.

Pasangan suami isteri ini boleh dihubungi menerusi: hoperehabjb.wordpress.com or hoperehabjb@gmail.com.

Sumber: mStar