Nur Anita (kiri) bersama sebahagian anak-anaknya. |
BALING - Desakan hidup memaksa sepasang suami isteri dari Kampung Sera Bawah, di sini mengambil keputusan memberhentikan persekolahan anak kedua mereka yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.
Difahamkan keluarga ini mempunyai sembilan anak berusia setahun hingga 19 tahun di mana enam daripada mereka masih bersekolah bermula peringkat tadika, rendah dan menengah.
Nur Anita Ramli, 39, berkata, dia dan suaminya, Mohamad Zaidi Mohamad, 39, membuat keputusan memberhentikan sekolah anak mereka, Nurul Anis Syazwani, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra bagi memberi peluang enam lagi anak lain bersekolah.
Menurutnya, tindakan itu dibuat memandangkan pendapatan keluarga yang hanya bergantung pada kegiatan menoreh getah, namun kini terjejas akibat kejatuhan harga tanaman komoditi itu.
"Selain menoreh getah, suami juga jual pisang. Pendapatan keluarga RM700 sebulan tak cukup nak tampung anak-anak kami bersekolah. Hasil getah pun ikut keadaan cuaca. Kalau kemarau atau hujan lebat, hasil akan terjejas.
"Untuk anak sekolah rendah, saya peruntukkan RM2 sehari dan menengah pula RM5 sehari termasuk tambang bas. Waktu harga getah naik dulu, keadaan taklah seteruk sekarang," katanya yang merupakan seorang suri rumah.
Nur Anita yang memperoleh bantuan makanan bulanan daripada zakat dan bantuan kewangan sebanyak RM150 turut mengakui kenaikan harga barang serta keadaan ekonomi semasa antara faktor anak keduanya terpaksa diberhentikan daripada bersekolah.
"Saya harap agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah dapat menambah jumlah bantuan bulanan kami," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling (Perkeba), Mohd Nazry Md Bidin berkata, Perkeba berharap JKM dapat menaikkan jumlah bantuan bulanan kepada keluarga itu.
"Baru-baru ini Perkeba dan Pejabat Adun Bayu ada ziarah keluarga berkenaan.
"Dari apa yang dilihat, mereka sememangnya perlu dibantu dan kami ucapkan terima kasih kepada JKM yang menyenaraikan keluarga ini dalam penerima bantuan sebelum ini," katanya.
Pegawai JKM, Shamsul Izrin Isahak pula berkata, pihaknya akan mempertimbangkan permohonan sekiranya berkelayakan dan menepati syarat-syarat jabatan.
“Keluarga ini penerima bantuan sejak 2014, dalam masa sama kita akan menziarahi keluarga tersebut dan mempertimbangkan permohonan,” katanya.
Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan di Bank Simpanan Nasional (BSN) 02005-41-00011904-5 atau hubungi mereka di talian 019-5692303.
Sumber: Sinar Harian