Apa Salahnya DAP Sokong PAN? - Guan Eng

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
GEORGE TOWN – DAP menyokong Parti Amanah Negara (PAN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Parlimen Sungai Besar, Selangor kerana ia rakan sekutu dalam Pakatan Harapan, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Kita sokong parti PAN sebagai rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan. Apa salahnya kalau kita (DAP) sokong calon PAN.

“Satu tuduhan melulu kalau nak sebut kita ada agenda tertentu,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa DAP menyokong calon PAN dalam PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar kerana parti itu mempunyai agenda seperti menghalang perjuangan Islam yang dibawa PAS.

Abdul Hadi berkata tindakan PAN bertanding dalam kedua-dua pilihan raya kecil itu hanya memecahkan undi yang sepatutnya diterima calon pembangkang.

Guan Eng berkata DAP dan PAN mempunyai matlamat dan agenda yang sama iaitu menentang Barisan Nasional (BN).

PRK Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon BN, Datin Mastura Mohd. Yazid; Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr. Najihatussalehah Ahmad; Naib Ketua PAN kawasan Kuala Kangsar, Prof. Dr. Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK Parlimen Sungai Besar pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd. Zohdi; calon PAS diwakili ADUN Meru, Dr. Abdul Rani Osman dan Pengerusi PAN Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur.

Kedua-dua PRK diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun. – BERNAMA