Gambar Hiasan |
Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah), Mohd Taufik Yaacoob berkata, jumlah sebenar penoreh getah di negara ini sebenarnya mencecah ratusan ribu.
Menurutnya, agensi kerajaan iaitu Risda perlu membuat bancian semula bilangan penoreh getah bagi memastikan tiada siapa yang tercicir menerima bantuan itu.
“Dari 388,111 penerima itu, seramai 307,770 adalah pemilik pengusaha, tetapi baki penoreh yang dinyatakan pula hanya RM80,341. Jumlah penoreh perlu dikemas kini kerana ia tidak tepat.
“Jumlah penoreh getah di Kedah sahaja mencecah hingga 30,000 orang, jadi Pergetah berharap bantuan RM500 itu dapat diagih berdasarkan jumlah sebenar penoreh yang ada di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, baru-baru ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bantuan khas kejatuhan harga getah 2016 secara one off kepada 388,111 pekebun kecil di seluruh negara bagi meringankan beban mereka di mana daripada jumlah itu, 307,770 merupakan pemilik pengusaha dan bakinya ialah penoreh getah.
Mohd Taufik berkata, pihaknya juga berharap agihan pembayaran kepada seluruh pemilik kebun pada tahun ini dapat dilakukan tanpa karenah birokrasi dan tidak membebankan penoreh.
“Untuk bantuan pemilik kebun perlu ke pejabat Risda untuk isi borang sebelum bayaran dibuat melalui bank. Seperti tahun lepas keadaannya merumitkan di mana beribu orang berkumpul dan berebut sehingga bergaduh semata-mata mahu mengambil borang .
“Bayaran pula dibayar lewat dari tarikh yang dijanjikan, ada yang pergi ke bank pada tarikh tersebut tetapi duit masih belum diterima,” katanya.
Bagaimanapun katanya, usaha dan alternatif menyalurkan bantuan bernilai RM500 itu adalah satu tindakan yang baik.
“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban penoreh menyambut ketibaan Aidilfitri,” katanya.
Penoreh, Ramli Taib, 64, dari Kampung Lanai berkata, kerajaan perlu memperhalus jumlah penoreh yang ingin disalurkan bantuan.
Menurutnya, ramai penoreh masih belum menerima bantuan sama yang dijanjikan pada tahun lalu.
“Tahun lepas yang dapat bantuan itu hanya 10 orang di kampung saya, jika kerajaan mahu memberi bantuan itu diharap mereka teliti betul-betul jumlah penoreh,” katanya.
Rohaizat Mansor |
“Jika bayaran itu dibuat empat kali dalam setahun ia memadai kerana dana itu mungkin boleh digunakan penoreh untuk buat modal perniagaan,” katanya.
Manakala bagi bekas peserta demonstrasi menuntut kenaikan harga getah pada 1974, Abu Hassan Mat Saad, 63, dari Kampung Tanjung Pari berkata, pengumuman bantuan RM500 itu bermanfaat untuk setiap pemilik kebun terutamanya dalam meraikan Aidilfitri tahun ini.
“Dengan bantuan itu dapat juga menampung untuk membeli baju raya dan barangan keperluan sekolah anak-anak,” katanya.
Namun katanya, pemberian itu bukan penyelesaian kepada kejatuhan harga getah.
“Harga getah sekarang RM2 untuk sekilo, jumlah itu tidak memadai dengan harga barang yang tinggi,” katanya.
Sumber: Sinar Harian