Barang Kemas Disamun 4 Lelaki Di Gurun, Wanita Rugi RM9,000

Gambar Hiasan
GURUN - Seorang wanita kerugian kira-kira RM9,000 selepas barang kemas yang dipakainya disamun sekumpulan empat lelaki menaiki dua motosikal ketika mangsa berada di hadapan rumah jirannya, di Taman Murni, di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, antara barang milik mangsa berusia 49 tahun itu, yang dilarikan termasuklah dua bentuk cincin emas, seutas rantai tangan emas dan seutas rantai leher emas.

"Kejadian berlaku pada 9.30 malam ketika mangsa yang berada di hadapan rumah jirannya dihampiri lelaki terbabit dan seorang daripada suspek bertindak mengacukan parang ke arah mangsa sambil mengarahkan mangsa menyerahkan barang kemasnya.

"Semasa mangsa cuba mengelak, dia terjatuh di atas jalan dan suspek menarik barang kemas dipakai mangsa, menyebabkan mangsa cedera ringan di jari kanannya akibat terkena parang," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Md Zukir berkata sewaktu kejadian, anak lelaki dan suami mangsa cuba menghampiri untuk membantu mangsa namun diugut suspek sambil membaling pasu bunga, yang kemudiannya melarikan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Bernama