Bekas Menteri Jadi Pemandu Uber, Rasa Denyut Nadi Rakyat


BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar telah mengejutkan lapan pengguna UBER, apabila menjadi salah seorang pemandu syarikat perkhidmatan kereta sewa yang menggunakan aplikasi atas talian tersebut.

Salah seorangnya, Firdaus Fadzil  berkongsikan perkara itu di Facebook miliknya.

“Aku tak perasan dia sebenarnya. So, on the phone to provide my exact location, I addressed him as ‘ABANG’. LoL,” kata Firdaus yang menaiki kereta Abdul Wahid dari Putrajaya ke KL Sentral.

Firdaus mengakui, dia berasa bertuah kerana bukan semua pengguna berpeluang menaiki kenderaan yang dipandu oleh menteri.

Dalam pada itu, kisah sebenar mengapa Abdul Wahid sanggup menjadi pemandu UBER dibuka oleh Pengarah Eksekutif INSKEN Norizan Shariff yang berpeluang berbual dengan Abdul Wahid ketika berbuka puasa dan solat Terawih bersama-sama.

Menurutnya Abdul Wahid memberitahu beliau menjadi pemandu UBER selama tiga hari sebelum berangkat ke tanah suci Makkah kerana mahu memahami denyut nadi rakyat Malaysia.

Abdul Wahid yang juga bekas CEO Kumpulan Maybank dijangka kembali ke sektor korporat setelah perkhidmatannya sebagai anggota Dewan Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berakhir 4 Jun lalu. –Kedahnews.com