Beri Alasan Bawa Air Ketum Untuk Hilang Mengantuk

Gambar Hiasan
GURUN - Seorang penunggang motosikal menggunakan alasan air ketum yang dibawa bagi menghilangkan rasa mengantuk ketika ditahan dalam Operasi Bersepadu di Hentian Rehat dan Rawat Gurun, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, tembelang lelaki berusia 21 tahun itu pecah apabila ujian saringan air kencing menunjukkan dia positif dadah jenis syabu.

Dia dikatakan sedang dalam perjalanan dari Changlun bersama seorang pembonceng yang dipercayai anak saudaranya berusia 17 tahun.

Exco Pengangkutan, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, operasi anjuran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu disertai tujuh agensi termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia dan PLUS.

Menurut Tajul, ujian saringan air kencing telah dilakukan ke atas empat lelaki secara rawak namun tiga daripadanya negatif.

“Suspek telah memaklumkan pihak berkuasa bahawa air yang dibawanya dalam raga motosikal ialah air ketum dengan alasan untuk elak mengantuk,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu diserahkan kepada AADK untuk tindakan selanjutnya dan disiasat bawah Seksyen 31 Akta Dadah Berbahaya.

Tajul berkata, dalam operasi sama, sebanyak 71 pemeriksaan kenderaan dilakukan oleh SPAD dan enam notis saman dikeluarkan.

Selain itu, katanya, 14 saman trafik dikeluarkan dan 32 saman dikenakan Jabatan Pengangkutan Jalan atas pelbagai kesalahan.

Operasi yang bermula jam 9.30 malam itu berakhir jam 12 tengah malam.

Sumber: Sinar Harian