Pembuat kek dari seluruh dunia berkumpul di Alexandra Palace di utara London, Britain untuk mempamerkan bakat mereka dalam Pertunjukan Hiasan Kek Terbesar Dunia.
Pengunjung yang hadir ke pertunjukan itu terpegun melihat lebih 100 kek pelbagai bentuk dan berwarna-warni yang dipamerkan.
Selain melihat hiasan kek yang luar biasa, pengunjung juga berpeluang menikmati hidangan kek enak yang dihasilkan pembuat kek dari seluruh dunia.
Lebih menarik, pengunjung juga berpeluang menyertai bengkel menghias kek yang dikendalikan pembuat kek terbaik dunia.
Semua kek yang dipamerkan itu diadili oleh juri profesional diketuai oleh Pengerusi Hakim Kek Antarabangsa, Brian Taylor.
Pelbagai tema dipersembahkan oleh peserta dalam pameran itu termasuk kesusasteraan, keagamaan, kebudayaan, tokoh terkemuka dan alam fantasi.
Antara yang paling mencuri tumpuan adalah kek menyerupai watak White Walker, makhluk menyeramkan yang ada dalam novel dan siri televisyen, Game of Thrones.
Bagaimanapun, kek menyerupai saintis terkemuka dunia, Albert Einstein yang dihasilkan oleh Dawn Butler dipilih sebagai hiasan kek terbaik.
Menurut juri, memilih juara pertandingan itu sangat sukar kerana semua peserta menghasilkan kek yang luar biasa dan sangat kreatif. -Agensi