Buah Kelapa Laut Laris Di Baling Ramadhan Ini


BALING – Peniaga buah kelapa laut atau dikenali juga dengan nama buah Thai oleh penduduk tempatan di sini, mampu meraih keuntungan sehinga RM300 sehari hasil jualan buah yang mendapat banyak permintaan terutamanya dalam bulan Ramadan.

Buah yang berwarna kelabu kehitaman, rata-ratanya dibawa dari wilayah Selatan Thai terutamanya Pattani yang pokoknya tumbuh subur di kawasan itu.

Azman Sudin, 50, yang berniaga di pekan Baling di sini berkata, dia sudah membuat tempahan buah Thai dari peniaga di Pattani sejak dua minggu sebelum Ramadan tiba kerana tahu buat itu mendapat permintaan tinggi ketika musim ini.

“Buah ini mempunyai isi seakan-akan agar-agar yang lembut dan manis, dan biasanya dijadikan campuran dalam minuman serta mempunyai khasiat seperti mengurangkan panas dalam badan dan batuk,” katanya kepada Bernama.

Buah tersebut dijual dengan pelbagai harga berbeza mengikut saiz iaitu RM8, RM5 dan RM4, dan menurutnya beliau mampu menjual sehingga hampir 50 biji buah kelapa laut pada hari pertama Ramadan. – BERNAMA