Budak "Ghaib" Di Kuala Nerang Dipercayai Angkara Jin


KUALA NERANG - Kehilangan seorang kanak-kanak selama lima jam Jumaat lalu di Kampung Perik seperti yang disiarkan Sinar Harian semalam, turut mendapat perhatian pengamal perubatan Islam.

Menurut Ahmad Muzakir Ahmad Shukri berkata, hutan adalah tempat tinggal jin malah sesetengahnya menjadikan ia perkampungan mereka.

“Sebelum Nabi Adam diciptakan jin sudah wujud dan hutan adalah kediaman mereka. Oleh itu, tidak hairanlah jika berlakunya kejadian misteri kepada penduduk.

“Jin boleh merupai pelbagai wajah dan mereka akan merupai orang yang kita sayangi supaya mudah terpengaruh. Seseorang itu akan mudah terpengaruh jika badannya lemah atau sakit,” katanya.

Menurut Ahmad Muzakir, kepesatan penduduk hari ini sedikit sebanyak mengancam kediaman mereka apabila banyak hutan diterokai.

“Justeru itu, kita sering terdengar apabila ada dalam kalangan penduduk hilang sekian lama di dalam hutan kerana dirasuk makhluk halus itu,” katanya.

Jelasnya, sebagai orang Islam seharusnya mempunyai doa tertentu sebagai pendinding diri terutamanya semasa masuk ke dalam hutan.

“Oleh itu saya menasihatkan orang ramai yang tinggal atau bekerja berhampiran hutan perlu berhati-hati dengan makhluk halus ini yang sering mengambil kesempatan supaya dapat menyesatkan kita,” katanya.

Semalam Sinar Harian menyiarkan kisah seorang kanak-kanak di Kampung Perik yang hilang beberapa jam gara-gara mengikut neneknya yang masuk ke dalam hutan hingga tersesat.

Bagaimanapun kanak-kanak itu akhirnya berjaya dijumpai penduduk kampung dalam keadaan letih dan kesejukan.

Sumber: Sinar Harian