Budak Hidu Gam Beramai-Ramai Atas Bumbung

GAMBAR sekumpulan remaja menghidu gam di atas sebuah bumbung bangunan di Kota Kinabalu, Sabah mengundang kecaman orang ramai selepas ianya tersebar di ruang maya internet, khususnya media sosial.

Menerusi perkongsian di akaun Facebook milik, Joel j. Johnny, gambar -gambar itu dirakam di kawasan Kampung Air pada 21 dan 22 Jun sekitar pukul 6.30 hingga 7.30 pagi.


Dua remaja perempuan dilihat sedang duduk sambil menghidu sebungkus plastik dipercayai mengandungi gam serta bebeberapa kanak-kanak lelaki dengan salah seorang daripadanya sedang tidur.

Pendedahan gambar itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata mahu tindakan segera diambil bagi membendung budaya menghidu gam dalam kalangan remaja.

Susulan menjadi viral gambar berkenaan, pihak Polis IPD Kota Kinabalu dengan kerjasama penguat kuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) difahamkan telah menahan empat remaja termasuk dua perempuan yang berusia dalam lingkungan sembilan hingga 17 tahun, pagi semalam.



Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, dua daripada mereka ditahan ketika sedang menuruni tangga bumbung bangunan tersebut, manakala tiga lagi ditahan di sekitar Kampung Air.

“Semua yang ditahan telah dibawa ke IPD Kota Kinabalu. Empat daripada suspek termasuk dua budak lelaki yang berusia 9 tahun mengaku menghidu gam. Manakala seorang lagi mendakwa hanya menemani rakan-rakan mereka sahaja,” katanya. -Kedahnews.com