Mohd Amirul Azim menunjukkan kawasan tali air di mana tempat dia mengikut seorang nenek yang tiba-tiba hilang. |
KUALA NERANG - Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun sesat di dalam hutan hampir lima jam selepas mendakwa mengikuti seorang nenek ketika mahu pulang ke rumahnya di Kampung Perik, Jumaat lalu.
Bagaimanapun selepas pelbagai usaha dijalankan, Mohd Amirul Azim Othman berjaya ditemui penduduk kampung berhampiran sebuah tali air di kampung berkenaan kira-kira jam 12 tengah malam.
Mohd Amirul Azim berkata, kejadian itu berlaku ketika dia bersama seorang rakannya, Hafiz Nasir, 11, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar memancing berhampiran sebuah kuari pasir di sini.
"Ketika itu, saya terserempak dengan seorang nenek yang mengatakan mahu pulang bersama.
"Saya ada beritahu nenek itu, saya akan mengikutnya dan tidak lama selepas itu, saya seperti tidak sedarkan diri dengan mengikutnya masuk ke dalam hutan.
“Apabila masuk dalam hutan, tiba-tiba nenek itu hilang. Saya mula rasa takut kerana ditinggalkan keseorangan," katanya.
Mohd Amirul Azim berkata, beberapa jam selepas itu, dia terdengar ada orang memanggil namanya dan semasa keluar dari hutan, dia ternampak kelibat beberapa penduduk kampung sedang mencarinya.
"Saya cuba memanggil mereka, namun tiada siapa mendengarnya. Ketika itu, abang saya juga bersama mereka.
"Selepas itu, saya dengar lagi nama saya dipanggil dan ketika menghampiri mereka saya ternampak ada satu laluan. Ketika saya keluar dari laluan itu, barulah penduduk kampung dapat lihat saya," katanya.
Sementara itu, kakaknya, Anis, 17, berkata, keluarganya mengetahui adik bongsunya hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak 7.30 malam.
"Ketika ditemui, keadaan adik agak pucat dan letih," katanya.
Katanya, mereka sekeluarga bersyukur kerana adiknya ditemui selamat selepas hampir lima jam hilang.
Difahamkan beberapa tahun lalu kejadian serupa turut berlaku apabila seorang wanita hilang selama sehari dan dijumpai di kawasan pokok buluh berdekatan rumahnya.
Sumber: Sinar Harian