Budak Tukang Bawa Beg Yang Ditakuti Pemimpin PKR


KUALA KANGSAR – Kisah ‘perang mulut’ antara Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dengan pegawai khas isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor mula membongkar sisi penakut Ahli Parlimen Pandan tersebut.

Walhal ceritanya bermula daripada tuduhan liar Rafizi yang mendakwa konon isteri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor sewa jet mewah ke Turki dengan bayaran puluhan juta ringgit yang sebenarnya tidak benar.

Tuduhan jahat berkenaan pada asalnya hanya disiarkan Rafizi menerusi laman Facebook milik beliau dan Rizal kemudian bertindak menjawab dengan pantas juga melalui saluran Facebook sebagai memberi maklum balas.

Rafizi kemudian cuba hendak membawa isu jet itu ke Kuala Kangsar sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Bandar Diraja Perak itu dengan hajatnya mahu membuat sidang media khas mengenai perkara itu di pejabat PAN.

Ini menyebabkan Rizal terpaksa pergi ke Kuala Kangsar untuk mendengar sendiri tuduhan Rafizi selain mencatat nota dan mengambil sebarang lampiran kenyataan media yang lazim diedarkan kepada wartawan untuk rujukan.

Malangnya Rafizi tidak mahu berdepan Rizal, waima pada hari kejadian Rabu lalu, Rizal menunggu hampir sejam di bawah pejabat PAN di Jalan Daeng Selili, sebelum calon PAN, Ahmad Termizi Ramli datang bersalam dengan Rizal.

Rafizi muncul tiba-tiba dan terus berjalan laju naik tangga untuk menuju ke tingkat satu iaitu pejabat PAN bagi memulakan sidang akhbar, serta enggan berjumpa Rizal, malahan tidak bersalam langsung atau menyapa khabar.

Rizal Mansor (tengah) dihalang dengan ganas untuk masuk ke pejabat PAN Kuala Kangsar kerana dianggap Rafizi Ramli hanya setaraf budak pengangkat beg sahaja.

Selepas itu Rizal cuba menaiki tangga ke tempat sidang media tersebut, tetapi dihalang oleh petugas PAN, waima Rizal menyatakan hasratnya hanya untuk mendengar dan mencatat nota tuduhan Rafizi, namun tidak diendahkan.

Rizal kemudiannya memberitahu petugas media bahawa beliau hairan bagaimana ‘juru dedah’ Rafizi yang cukup berani boleh berubah menjadi paling takut hendak membenarkan dirinya menghadiri sidang media berkenaan.

Malu dengan insiden itu, Rafizi pada ceramah PAN sebelah malam cuba ‘cover line’ konon Rizal bukan sesiapa bagi dirinya untuk berdepan atau berdebat mengenai isu jet tersebut tetapi sekadar ‘budak pengangkat beg Rosmah’.

Susulan terkilan dengan jawapan berbaur penghinaan oleh Rafizi itu, Rizal dalam satu kenyataan media pada lewat malam Khamis berkata bahawa beliau sedar dirinya siapa jika hendak dibandingkan dengan Rafizi yang hebat itu.

Menurut Rizal, sebelum Rafizi tergamak memanggilnya sebagai budak pengangkat beg, beliau lebih awal sudah mengaku di depan pihak media yang menemuinya di Kuala Kangsar, bahawa beliau hanya sekadar insan kerdil.

“Sejak semalam lagi, pihak media cuba menghubungi saya untuk minta mengulas berhubung panggilan oleh Rafizi terhadap saya hanya setaraf sebagai budak pengangkat beg. Saya sedar siapalah diri saya ini.

“Malahan sebelum Rafizi memanggil saya hina sebagai budak pengangkat beg, saya sendiri lebih awal mengaku di depan media di Kuala Kangsar semalam bahawa saya hanya insan kerdil,” tambah Rizal lagi.

Rafizi pada ceramah PAN mendakwa dirinya tidak layak jumpa budak pengangkat beg dan terlupa, bosnya sendiri disumbat masuk jel oleh budak pembancuh kopi.

Rafizi ketika menyampaikan ceramah di depan pejabat PAN malam Rabu berkata, bukan tarafnya hendak bersoal jawab dengan Rizal mengenai isu penyewaan jet peribadi untuk kegunaan Rosmah ke Istanbul baru-baru ini.

Rizal dakwa Rafizi, hanyalah budak mengangkat beg Rosmah dan tidak layak berdebat dengan beliau. Mengulas lanjut, Rizal berkata, dari satu sudut beliau ‘bangga’ kerana budak pengangkat beg sepertinya ditakuti Rafizi.

Ini terbukti apabila usaha Rizal hendak mendengar sendiri sidang media Rafizi pun tidak dibenarkan sekali gus menunjukkan Rafizi amat penakut berdepan secara langsung dengan budak pengangkat beg yang dihinanya.

“Bertindaklah seperti anak jantan wahai saudara Rafizi, bukannya bertindak seperti anak ikan,” sindir Rizal sambil mengingatkan Rafizi agar tidak lagi memandang rendah kepada taraf seorang budak pengangkat beg.

Ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa seorang pembancuh kopi yang biasa iaitu Saiful Bukhari Azlan boleh ‘menghantar’ ketuanya sendiri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim disumbat masuk ke dalam penjara Sungai Buloh.

Rizal merujuk kepada kes Anwar yang dihukum kerana meliwat bekas pekerjanya yang merupakan pembantu peribadi tokoh pembangkang namun diperleceh sebagai pembancuh kopi oleh pasukan peguam bela Anwar.

Lebih dahsyat, media mendedahkan Anwar pernah bawa ‘pembancuh kopi’ itu ke Singapura, Thailand dan Hong Kong; menunjukkan kopi bancuhannya terbaik hingga dibawa majikan ke mana-mana. – Agensi