Bukti Australia Iktiraf K'jaan Malaysia Bersungguh Banteras Rasuah - Abu Kasim

Tan Sri Abu Kassim Mohammad
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohammad telah memohon kepada kerajaan bagi mempercepatkan penamatan kontraknya yang sepatutnya berakhir pada 4 Disember 2018 kepada 1 Ogos 2016.

SPRM dalam satu kenyataan media berkata, Abu Kassim telah membuat permohonan sebanyak tiga kali bagi mempercepatkan penamatan tempoh kontraknya dan kali ini ia diluluskan oleh kerajaan Malaysia.

Kenyataan itu bagaimanapun menegaskan, Abu Kassim membuat keputusan itu bukan kerana menerima tekanan daripada mana-mana pihak sebaliknya menerima tawaran daripada International Anti Corruption Academy (IACA) sebagai pakar jemputan di universiti pencegahan rasuah pertama di dunia tersebut.

“Abu Kassim sebelum ini telah mengemukakan permohonan yang sama namun Kerajaan Malaysia telah meminta beliau untuk meneruskan perkhidmatannya.

“Tiada tekanan dibuat oleh mana-mana pihak terhadap keputusan Abu Kassim bagi memendekkan kontraknya yang sepatutnya berakhir pada 4 Disember 2018 dan permohonan kali ketiga ini dibuat selepas beliau menerima tawaran IACA,” kata kenyataan itu semalam.

Menurut SPRM, perlantikan Abu Kassim di IACA di Austria merupakan satu pengiktirafan dunia kepada kesungguhan Kerajaan Malaysia serta kepimpinan SPRM dalam menangani jenayah rasuah.

Jelas SPRM, Abu Kassim akan turut memberi tumpuan kepada tugas beliau sebagai ahli lembaga di universiti berkenaan selain menunaikan tanggungjawab sebagai pensyarah, penyelidik serta memberi khidmat rundingan di Universiti Teknologi Mara (UiTM). –Kedahnews.com