Buruh Hina TMJ Dihukum Penjara Setahun


JOHOR BAHRU – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas mengaku bersalah atas 14 pertuduhan memuat naik komen bersifat jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam laman sosial Facebook (FB).

Tertuduh, Muhammad Amirul Azwan Mohd Shakri, 19, yang berasal dari Tumpat, Kelantan mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Sabariah Atan.

Mengikut semua pertuduhan, Muhammad Amirul Azwan didakwa melakukan perbuatan itu menerusi laman sosial berkenaan atas nama “Miyo Castello” dengan niat untuk menyakiti hati Tunku Ismail.

Tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen bersifat jelik di laman FB TRW Troll Story dengan niat menyakitkan hati dan mengganggu orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mac dan April lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan di mana hukuman itu dijalankan secara serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 28 April lalu.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: Berita Harian