Cara Negara Asal Didier Drogba Rai Merdeka


Karnival Popo yang diadakan setiap tahun di Ivory Coast adalah acara paling ramai dihadiri pelancong kerana mempamerkan budaya dan tradisi pelbagai etnik negara Afrika itu.

Antara tarikan sepanjang karnival itu ialah lakonan semula penderitaan penduduk ketika berada di bawah jajahan Perancis dan pelbagai persembahan kebudayaan.

Karnival yang diadakan di Bonoua di timur Abidjan itu berlangsung selama seminggu.


Ia mulanya perayaan warisan budaya masyarakat Abourne tetapi kini turut dimeriahkan dengan pertandingan gastronomi, ratu cantik, sukan, tarian tradisional dan bengkel pemikiran.

Popo bermaksud topeng. Peserta membuat sendiri topeng dengan dekorasi berwarna-warni dan terang untuk mengambil bahagian dalam perarakan.


Pemuda suku kaum Abourne pula membuat pertunjukan tarian perang, selain turut melakonkan semula adegan penderitaan buruh paksa.

Sekumpulan lelaki berbaring ketakutan sementara beberapa lelaki berdiri sambil memegang kayu dan belantan pasti mengembalikan kenangan pahit di zaman penjajah.

Wanita dari kumpulan etnik itu turut melakonkan beberapa adegan zaman penjajah dengan berjalan di sepanjang jalan dalam keadaan separuh bogel.


Ivory Coast secara rasminya menjadi tanah jajahan Perancis pada 10 Mac 1893.

Perhambaan dimansuhkan pada 1905, tetapi pada 1958 barulah Ivory Coast menjadi republik autonomi.

Pada 7 Ogos 1960 ia akhirnya menjadi negara merdeka dan bebas daripada sebarang bentuk penjajahan.

Sumber: myMetro