Shukri memeriksa peralatan ditemui dalam rumah itu. |
POKOK SENA - Sebuah pondok kecil atas pokok belimbing dikenali sebagai rumah ‘tarzan’ disyaki dijadikan port melepaskan gian sekumpulan penagih dadah, di sini.
Melalui pemeriksaan yang dijalankan, rumah tarzan itu dibina pada ketinggian lebih kurang empat meter lengkap dipasang tangga dan dilengkapi tilam yang dibina sendiri oleh lelaki berusia 48 tahun.
Lelaki memiliki kemahiran pertukangan dari sebuah institusi kemahiran berkenaan menggunakan keupayaan dimiliki bagi membina pondok kecil berdekatan kediamannya.
Turut ditemui, beberapa peralatan menghisap dadah dalam pondok kecil berkenaan yang mampu memuatkan kira-kira lima individu dalam satu-satu masa.
Difahamkan, tokan dadah akan menghantar bekalan di lokasi berkenaan bagi membolehkan kumpulan penagih sekitar kawasan melepaskan gian mereka.
Lelaki yang disyaki mengambil dadah jenis syabu, heroin dan ganja itu walau bagaimanapun ditahan dalam pemeriksaan di kediamannya kira-kira jam 1.30 pagi.
Dalam operasi sama, turut ditahan seorang lelaki berusia 45 tahun yang tinggal sendirian dalam sebuah rumah usang dan terbiar tanpa jagaan.
Ketika ditanya dia menetap bersama siapa di rumah itu, lelaki itu memaklumkan dia memiliki anak berusia antara 2 hingga 15 tahun bersama isteri 30-an, namun tidak mengetahui ke mana ahli keluarganya pergi.
Difahamkan, dia yang mengambil dadah jenis syabu dan heroin hanya menyedari ahli keluarganya tiada di rumah sebaik dia keluar dari pusat serenti beberapa bulan lalu.
Malah, lelaki terbabit dipercayai menghisap dadah menggunakan peralatan dihasilkan sendiri dari botol nila berwarna biru dan botol kaca.
Manakala, seorang lelaki bujang berusia 45 tahun pula ditahan kerana disyaki menyalahgunakan dadah jenis heroin di Batu 14, di sini.
Ketika diperiksa, dadah dibeli pada harga sekitar RM70 yang ditemui dipercayai disembunyikan di tempat tidurnya sendiri.
Kelmarin, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) diketuai Ketua Unit Penguatkuasa AADK Kota Setar/Pokok Sena, Mohd Shukri Hussain bersama 20 anggota melakukan operasi perangi dadah habis-habisan.
Ketua Pegawai AADK Kota Setar/Pokok Sena, Suria Azlina Shaarin berkata, mereka antara sebahagian 14 penagih ditahan sekitar Pokok Sena dan Kuala Kedah dalam operasi dijalankan selama lapan jam itu.
"Seorang remaja 17 tahun turut dibebaskan bawah pengawasan AADK," katanya.
Sumber: Sinar Harian