China Makin Sukar Cari Atlet Untuk Dilatih

JURULATIH menenangkan kanak-kanak perempuan yang keletihan ketika kelas gimnastik.
Imej menyayat hati seorang kanak-kanak perempuan menangis tersebar dari sebuah sekolah yang direka untuk melatih si cilik menjadi juara Olimpik.

Ia cuma satu daripada lambakan gambar yang dirakam di sekolah sukan di seluruh China, menunjukkan kanak-kanak menjalani latihan rutin yang menjerihkan seawal usia enam tahun.


Namun, keadaan seperti itu semakin berubah sejajar dengan perkembangan China yang kini lebih memfokuskan terhadap pendidikan.

Sistem sukan China menunjukkan kejayaan sejak negara itu kembali menyertai Olimpik pada 1980 dan memuncak pada 2008 ketika ia menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Beijing 2008 seterusnya menduduki tempat kedua di belakang Amerika Syarikat di London pada temasya sukan berkenaan, empat tahun kemudian.


Kini, tidak ramai ibu bapa sanggup membiarkan anak mereka menjalani latihan rutin yang begitu meletihkan, menyebabkan jumlah pelajar sekolah sukan semakin berkurangan.

Kesannya beberapa sekolah terpaksa ditutup, sementara yang lain mengubah suai cara latihan mereka. Jumlah sekolah sukan mula menurun dari 3,687 pada 1990.

Masalah dihadapi sistem sekolah sukan bermula sekitar Sukan Olimpik Beijing 2008 lagi, dengan masalah dihadapi atlet bersara, penekanan terhadap taraf pendidikan yang semakin berkembang pesat di China, selain turut terkesan akibat dasar anak satu negara itu sebelum ini dan waktu pembelajaran murid yang agak melampau berbanding negara lain.


Untuk menangani masalah itu, Beijing mengeluarkan dasar baru mengarahkan sekolah sukan meningkatkan taraf pengajaran dan memberi lebih sokongan kepada atlet bersara.

Disebabkan itu semakin banyak sekolah sukan terpaksa mengubah kaedah pengajaran, termasuk turut memberi penekanan terhadap pendidikan bagi kanak-kanak yang menunjukkan minat menjadi atlet selain memberi kelonggaran untuk pelajar tinggal di rumah sendiri dan bukannya di asrama seperti sebelumnya.


Pengetua sebuah sekolah sukan, Sheng Maowu berkata: “Masih ramai berfikir bahawa sukan dan pendidikan dua perkara berbeza - jika mahu menjadi juara dunia, seseorang tidak boleh cemerlang dalam pendidikan.

“Perubahan pemikiran seperti itu masih memerlukan masa.” -Agensi