Dana Untuk Adik Ieman Masih Kurang RM7,000

Adik Ieman bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.
KUALA KEDAH - Keluarga kepada bayi berusia enam bulan dari Kampung Ulu, di sini mendakwa masih kekurangan RM7,000 bagi menampung keperluan anak mereka yang menderita sakit kronik.

Ibu bayi berkenaan, Nor Hidayu Halim, 27, berkata, mereka telah mengumpulkan dana sebanyak RM3,000 untuk keperluan anak bongsu mereka, Ieman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim.

"Buat masa ini kami cuma ada RM3,000 saja untuk tampung segala keperluan, jadi kami masih buntu memikirkan kos rawatan Ieman.

"Lebih-lebih lagi, kami juga diberitahu satu bilik khas dilengkapi penyaman udara perlu disediakan untuk Ieman demi kesihatan badannya," katanya.

Menurutnya, wang dikumpulkan mereka tidak mencukupi untuk membeli mesin bantuan pernafasan untuk Ieman.

"Sekarang Ieman meminjam mesin bantuan pernafasan bagi memudahkannya berulang-alik ke hospital kerana tak mampu nak beli sendiri," katanya.

Malah katanya, dia turut buntu memikirkan masalah pengangkutan dihadapi mereka untuk berulang-alik ke Hospital Pulau Pinang bagi rawatan susulan anaknya itu pada bulan depan.

Sebelum ini, media melaporkan kebimbangan sebuah keluarga berkenaan dana diperlukan anak mereka yang menghidap empat penyakit kronik selain perlu bergantung pada mesin pernafasan.

Mereka sekeluarga pula hanya bergantung kepada pendapatan bapa, Abdul Rahim Ismail, 31, yang menjual air kelapa selain memiliki tanggungan lain iaitu Ahmad Hafizy, 9, yang merupakan OKU dan anak kedua, Ahmad Amirul Amin, 6.

Difahamkan, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sudah memberi bantuan sekali gus sebanyak RM2,500 berikutan prihatin atas nasib ditanggung keluarga berkenaan demi meringankan beban mereka.

Mereka yang berhasrat membantu keluarga berkenaan bolehlah menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0210029000677695 atas nama Nor Hidayu Halim.

Sumber: Sinar Harian