DAP Tolak Kerjasama, Dakwa PAS Akan "Lenyap"?

Penasihat DAP, Lim Kit Siang
KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang membidas kenyataan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad bahawa Pakatan Harapan perlu memberi laluan kepada PAS bertanding satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Tegas beliau, pandangan Idris itu tidak logik kerana pertandingan satu lawan satu bukan `ubat ajaib’ untuk menumbangkan kerajaan BN kerana dasar PAS tidak sama dengan Pakatan Harapan.

Beliau mengingatkan Idris bahawa perpecahan Pakatan Rakyat pada tahun lalu berpunca daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak menghormati dasar bersama yang dipersetujui Pakatan Rakyat.

“Jika berlaku pertembungan satu lawan satu dengan BN di Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini, BN pasti mendapat majoriti yang lebih besar sehingga 16,000 dan 11,000 undi.

“Ia kerana 80 peratus daripada pengundi yang mengundi PAN dalam kedua-dua PRK tersebut pasti tidak akan mengundi PAS sebaliknya akan mengundi BN,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Justeru, Kit Siang membayangkan adalah wajar untuk Pakatan Harapan tidak menjalin kerjasama dengan PAS memandangkan PAS didakwa akan lenyap di Selangor dan Perak dalam PRU14.

Beliau turut memperlekehkan PAS yang ketinggalan 901 undi kepada PAN dalam PRK Kuala Kangsar pada 18 Jun lalu.

Portal-portal berita propembangkang selepas kedua-dua PRK terbabit berakhir bersungguh-sungguh mengeluarkan artikel yang bertujuan memujuk supaya PAS kembali menyertai DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Ia berikutan kemenangan bergaya BN sedangkan rata-rata pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini begitu yakin mereka akan menang besar dalam pilihan raya terbabit berdasarkan pelbagai dakyah dan pembohongan yang telah mereka lemparkan ke atas BN.

PAS disingkirkan daripada gabungan parti pembangkang oleh DAP dan PKR gara-gara enggan tunduk kepada desakan DAP dalam beberapa isu akidah Islam. –Kedahnews.com