Debat Projek Terowong: Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang Tak Hadir

Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Jason Loo
GEORGE TOWN – Debat antara pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Jason Loo dan pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri, Lim Hock Seng, yang dijadualkan semalam, tidak dapat diadakan kerana exco Pulau Pinang itu tidak hadir.

Loo berkata beliau kecewa kerana jemputan beliau kepada Lim untuk berdebat mengenai tajuk “Terowong Dasar Laut: Skandal Demokratik ” di premis Persatuan Loh, Jalan Logan, di sini tidak diterima.

“Saya sangat kecewa kerana Lim Hock Seng gagal hadir kerana ini adalah debat yang memberinya peluang untuk menjelaskan kekeliruan di kalangan penduduk Pulau Pinang mengenai projek mega ini.

“Laporan (kajian kemungkinan membabitkan kos RM305 juta, Adakah anda fikir ini bukan projek mega. Dan jumlah kos projek melibatkan kos RM6.3 bilion.

“Dia (Lim) memilih untuk melarikan diri, saya tidak faham. Adakah dia cuba untuk menutup skandal? Inilah sikap dan perwatakan pengecut daripada seorang pemimpin DAP,” katanya kepada pemberita di premis Persatuan Loh.

“Hakikat bahawa dia takut untuk menghadiri debat hari ini menunjukkan bahawa dia sebenarnya yang pengecut yang tidak melindungi kepentingan rakyat tetapi melindungi kepentingan pemaju,” katanya.

Loo juga mahu bertanya kepada Lim sama ada beliau menyembunyikan skandal projek itu daripada orang ramai dan bimbang jika skandal terowong itu terbongkar, jadi dia takut untuk hadir.

Loo berkata, beliau juga menerima 23 soalan daripada orang ramai mengenai isu projek terowong melalui laman Facebook beliau untuk ditanya semasa debat.

Pada 7 Jun, Loo menyerahkan jemputan rasminya kepada Lim untuk berdebat bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang terutama projek terowong dasar laut.

Bagaimanapun, Lim dilaporkan enggan menyahut cabaran itu kerana mendakwa semua soalan yang dikemukakan telah dijawab dan oleh itu tidak perlu untuk berdebat. – BERNAMA