Antara pelajar yang mengikuti program Tiusyen BARAKAH di Alor Setar |
ALOR SETAR - Tidak menunggu lama untuk berbakti kepada anak-anak Kedah, kini para pelajar sekolah di negeri jelapang padi ini menikmati bantuan kelas tambahan percuma menerusi program Tiusyen BARAKAH Kedah di sini, semalam.
Diumumkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah sebelum ini, para pelajar yang terpilih telah mula mengikuti kelas tambahan di beberapa parlimen, anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Kedah.
"GPMS yang merupakan satu badan NGO berteraskan pendidikan tertua di negara ini menyahut seruan kerajaan untuk bersama-sama membantu membela pendidikan anak bangsa ini.
"Para peserta bukan saja akan dibantu dalam teknik pembelajaran mereka, malah juga akan didedahkan dengan motivasi kendiri bagi membentuk pelajar yang berintelektual dan bersahsiah," kata Pengerusi GPMS Kedah, Shamsul Bahar Abdul Rani.
Difahamkan program Tiusyen BARAKAH untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM telah bermula di Alor Setar dan Merbok.
Mengulas mengenai salah satu cabang program BARAKAH berkenaan, Naib Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menegaskan ia merupakan satu inisiatif terbaik untuk kepentingan anak-anak Kedah.
Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri (duduk dua dari kiri), Shamsul Bahar Abdul Rani sedang menyampaikan ucapan. |
Katanya, ia juga membuktikan Ahmad Bashah merupakan seorang pemimpin matang yang tidak peduli pada hinaan yang dihamburkan pihak tertentu, namun terus menabur bakti dan fokus memberikan khidmat terbaik buat rakyat di negeri ini.
"Nak kutuk, kutuklah. Siapa pun tak boleh halang. Tapi yang penting, MB kita kekal fokus bantu adik-adik saudara mara depa yang nak ambik SPM nanti. Bukan tu saja, ramai lagi anak Kedah akan nikmati jasa Ahmad Bashah.
"Saya yakin, suatu hari nanti depa akan malu dan berterima kasih pada Datuk Seri Ahmad Bashah," katanya Syed Mohd Johan Rizal. -Kedahnews.com