Gambar Hiasan |
KEPERCAYAAN pulangnya roh ke dunia untuk menjenguk waris pada malam tertentu seperti Jumaat dan Ramadan atau menyelesaikan dendam yang terbantut merupakan anasir agama asing yang sangat popular dalam kalangan masyarakat Melayu.
Mengulas mengenai perkara ini, Pensyarah di Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz menegaskan bahawa prinsip mengutamakan dalil adalah “tulang belakang atau nyawa” agama yang wajib dijaga.
“Jika tulang ini patah atau bengkok, kesucian Islam akan tercemar dengan garapan manusia yang kuat berkhayal atau dipengaruhi anasir luar. Disiplin dalil, nas, hujah dan fakta merupakan perjuangan para ulama semenjak zaman sahabat sehingga kiamat.
“Kepercayaan ini seakan bercanggah dengan keadilan mahkamah Allah di akhirat kelak. Ini kerana si mati mahu segera mendapat keadilan tanpa perlu menunggu balasan akhirat,” katanya
Tambah beliau, semasa Ramadan ‘tazkirah’ media sosial tentang kepulangan roh mulai dikongsi ramai tanpa fikir. Ia tidak disokong oleh nas atau dalil yang sahih.
“Ia disebar bagai ombak besar yang merempuh semua disiplin Islam. Akibatnya masyarakat awam yang tidak mengenal disiplin agama sekali lagi dirosakkan mindanya dengan cerita karut dan khurafat tentang percutian roh pada Ramadan.
“Perlu ditegaskan, roh manusia yang sudah mati tidak boleh sama sekali pulang ke dunia. Mereka tidak pulang pada malam Jumaat, tidak juga pada bulan Ramadan atau pulang menuntut bela sebagai hantu,” katanya.
Antara dalilnya ialah:
1. “Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah, dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati),” (al-Naml [27:65]).
2) Nikmat yang diperoleh oleh roh orang beriman di alam barzakh jauh lebih besar dan lebih hebat. Apa perlunya mereka pulang ke dunia untuk mendapat nikmat dunia yang sungguh biasa? Jika dikata pulangnya mereka kerana mahu mengutip pahala hasil sedekah orang masjid atau anak cucu, maka kuasa Allah mengatasi segalanya. Kuasa-Nya merentas alam. Doa yang dipanjatkan oleh keluarga roh si mati boleh terus disalurkan ke alam barzakh tanpa perlu mereka pulang ke dunia.
AYAT 1,000 GUNA
Abdullah Bukhari bagaimanapun mengakui meskipun pelbagai hujah naqli (wahyu) dan aqli (logik) dikemukakan bagi menafikan kepercayaan karut tersebut, namun orang jahil yang tiada disiplin ilmu Islam lazimnya bakal menyanggah dengan ayat “1,000 guna” mereka iaitu:
“Ia tidak mustahil pada kekuasaan Allah kerana Allah itu Maha Berkuasa. Boleh sahaja Allah dengan kuasa-Nya yang tidak terbatas membebaskan roh yang beriman pada Ramadan atau malam Jumaat untuk pulang ke dunia,”
Jika begitu logik mereka, maka ini jawapannya:
“Malam tadi saya didatangi Jibril a.s. yang memeluk erat sambil mengajarkan Surah al-‘Alaq. Sejurus selepas itu saya dilantik sebagai nabi akhir zaman selepas Nabi Muhammad SAW. Jadi, anda semua perlu beriman kepada kerasulan saya. Jika ada yang tidak bersetuju dengan pelantikan saya sebagai Rasul, maka ini hujah ayat 1,000 guna saya.
“Ia tidak mustahil pada kekuasaan Allah kerana Allah itu Maha Berkuasa. Boleh sahaja Allah dengan kuasa-Nya yang tidak terbatas melantik saya sebagai nabi akhir zaman selepas Nabi Muhammad,” katanya.
Tegas Abdullah Bukhari, memang Allah Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja, tetapi perlu dipahat kemas dalam hati bahawa Allah juga sudah meletakkan sunnatullah atau undang-undang-Nya yang tidak akan diubah. Antara yang tidak akan berubah sampai kiamat adalah roh orang yang sudah mati tidak boleh pulang sama sekali ke dunia untuk apa sahaja tujuan.
“Sebarang dakwaan menyanggah hukum dan undang-undang Allah ini wajib ditolak. Jika tidak, agama suci ini akan jadi “agama secukup rasa” yang bergantung kepada penganutnya.
“Jika mahu lebih pedas tambahlah cilinya. Jika mahu lebih masin, tambahlah garamnya. Jika mahu lebih manis, tambahlah gulanya. Jika disiplin ini digunakan bagi memahami agama ini, maka hilanglah keagungannya, runtuhlah kegemilangannya,” katanya.
Sumber: Utusan