Elsa Frozen Pun Takkan Lepaskan Istana Ais Seindah Ini

IA mempunyai lima aras yang boleh diterokai pengunjung
Seandainya Permaisuri Elsa, karakter dalam filem Frozen membeli gua ais ini, dia sudah tentu tidak akan melepaskannya.

Ini kerana gua ini tidak akan cair.

Terbentuk seluruhnya daripada ais, gua ais Ningwu di Gunung Lyuyashan di China ini kelihatan seperti replika sebenar istana mistik Elsa dalam filem berkenaan.

ISTANA ais Permaisuri Elsa dalam filem Frozen.
Lebih menakjubkan, ia mampu kekal beku sepanjang musim panas walaupun ketika suhu di luar mencecah 17 darjah Celsius.

Ia adalah gua ais terbesar pernah ditemui di China dan dipercayai terbentuk sejak tiga juta tahun lalu.


Menurut saintis dari Akademi Sains Geologi China, beberapa faktor menjadi penyebab gua itu beku sepanjang masa.

Struktur dan kedudukannya seperti pin boling, digabungkan dengan pengaliran udara bermusim serta cara haba bertukar dengan dinding dua itu, menjadikan keadaan paling ideal untuk gua itu kekal berais, walaupun keadaan di luar panas.


Pemandangan bahagian dalamnya yang sejauh 85 meter sungguh menakjubkan. Ia mempunyai lima tingkat untuk membolehkannya menampung puluhan pengunjung pada satu masa.


Setiap tingkat yang berbentuk katedral itu disambung dengan rangkaian tangga, lubang dan jambatan ais.


Bagi yang fobia dengan keadaan tertutup, gua ini mungkin tidak menjadi masalah kerana jarak paling lebarnya ialah 20 meter sementara yang paling sempit, 9.8 meter.

Gua popular itu menarik kira-kira 1,000 pengujung sehari apabila dibuka kepada orang ramai antara Mei dan Oktober.

Pelancong boleh menghabiskan masa sejam di dalamnya yang diterangi dengan 200 mentol lampu pelbagai warna. -Agensi